KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar bersedia untuk meninggalkan kerjaya sebagai penyampai radio di Hot FM sekiranya memenangi kerusi dalam pilihan raya akan datang.
Beliau lebih dikenali sebagai KJ menyifatkan tindakan tersebut sebagai terbaik kerana bimbang berlaku berat sebelah yang mungkin boleh mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan ramai pihak.
“Kalau saya sudah dapat jawatan ataupun saya bertanding, saya rasa ‘fair’ untuk saya melepaskan atau meninggalkan radio.
“Tak ‘fair’ untuk Hot FM, Media Prima kalau saya yang dah masuk, terjun habis dalam politik masih lagi ada (di radio).
“Mungkin ‘bias’, orang akan marah, ‘listener’ akan marah tapi setakat ini selagi saya masih ahli biasa saya kata ok lah, dan mereka setuju,” katanya ketika menjadi tetamu Podcast BoraKrasi terbitan UtusanTV.
Namun begitu, KJ berkata beliau akan meneruskan Podcast Keluar Sekejap (KS) yang kini sudah menjadi satu perniagaan dan adalah sesuatu tidak bertanggungjawab untuk meninggalkannya begitu sahaja.
“Untuk Keluar Sekejap, kita macam UtusanTV sudah jadi satu perniagaan, kita ada ramai staf yang kita dah menggaji dan mereka ‘depend on us’.
“Sudah ada banyak sponsor yang bekerjasama dengan kita, bila ada perniagaan tidak bertanggungjawab kalau kita ‘just walk away’,” katanya lagi.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

