BERGULAT sudah pendekar-pendekar UMNO sejurus selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU 2025) minggu sudah yang menghadirkan pentas-pentas ucapan yang menyala.
Pulangnya mereka ke halaman masing-masing membawa amanat dan pesan sang adikara parti, mengutip semangat perjuangan bagi berdepan perang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menariknya, UMNO dikatakan menerima banyak permohonan daripada bekas ahli untuk kembali ke pangkuan, ditambah dengan kehadiran Khairy Jamaluddin pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO.
Selepas dipecat tiga tahun lalu, hadirnya Khairy atau KJ membuka ruang bicara dan persoalan, apakah akan diketengahkan sebagai calon? Apakah bakal menerajui UMNO selepas ini? Atau sama ada kemunculannya bakal memberi impak positif kepada UMNO?
Paling mudah untuk ditelah, beliau pasti akan bersama UMNO semula melihat kepada baju Melayu putih lengkap bersamping merah dan bersongkok yang dipakainya itu.

Ia bukan pakaian seorang pemerhati, ia pakaian ahli parti. Teruskan perjuangan kamu wahai KJ.
Begitu juga UMNO, teruskan perjuangan yang bukan letah atau lesu seperti diperkata orang sebelum ini.
Semua kaum ada peluang
Menariknya juga, di sela-sela PAU 2025, negara digemparkan dengan isu keadilan antara rakyat, disuarakan oleh atma atau jiwa yang bagi saya entahkan celik entahkan tidak.
Dalam satu wacana awam baru-baru ini, dia didakwa mengemukakan soalan mengandungi unsur perkauman.
Entahlah, dalam kita nak memasuki 69 tahun kemerdekaan negara, masih ada jiwa-jiwa yang sedemikian di sebalik realitinya, semua kaum ada ruang dan peluang untuk mendapatkan keadilan, berniaga, bekerja, hidup aman di bumi Malaysia ini.
Apa tujuan dia bertanyakan sedemikian? Biarlah pihak berkuasa menjalankan tugasnya.
Tetapi sebagai anak bangsa Malaysia ini, pandanglah realiti dari sudut yang luas, bukannya disempitkan oleh golongan kecil yang memandangnya dari sudut yang sempit.
Kita mahu hidup di Malaysia ini dengan aman dan tenteram, bukannya dimomok-momokkan oleh isu-isu yang mencetuskan api perkauman. Bertaubatlah dengan hati yang tenang, bukannya amarah yang berpanjangan, demi Malaysia yang dirahmati ini.
Begitu juga dengan isu-isu melibatkan lapangan pertahanan negara. Bertaubatlah dengan jiwa yang sedar, ini negara yang perlu dijaga dengan penuh bertanggungjawab.
Bercakap soal tanggungjawab, bertanggungjawablah dengan amanah yang diberikan, bukannya mencucuh amanah dengan api ketamakan dunia.
Ingat, setiap amanah akan dipersoalkan di timbang tara mahsyar nanti. Isu pertahanan negara yang dibuai ‘selebu’ atau ombak ketamakan, hapuskanlah segera.
Malaysia tidak perlu watak-watak yang ‘sirna’ atau lenyap maruah kemanusiaannya.
Metra Syahril Mohamed ialah Ketua Pengarang UtusanTV

