Tiada rakyat mahu kembali era dominasi UMNO, kata Chin Tong

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

RAKYAT Malaysia sudah menolak sistem politik berasaskan dominasi satu parti sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong.

Justeru, menurut Chin Tong, usaha untuk mengembalikan semula era kegemilangan UMNO sebagai parti dominan disifatkan tidak lagi selari dengan realiti politik semasa.

Katanya, hasrat Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dilihat sebagai usaha mengembalikan semula model politik lama yang berpaksikan penguasaan satu parti.

Beliau berkata, langkah BN Johor mahu bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Negeri juga menunjukkan terdapat pihak dalam UMNO yang mahu menggunakan PRN Johor sebagai medan menguji kekuatan sebelum membawa strategi sama pada PRU16.

“UMNO Johor berpandangan negeri itu sebagai kubu tradisi mereka dan percaya kemenangan besar di peringkat negeri mampu menjadi asas untuk mereka bertanding solo pada PRU akan datang.

“Namun sejarah sudah membuktikan bahawa era sistem satu parti sudah berakhir sejak 2018 dan landskap politik negara kini memerlukan kerjasama antara parti untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Liew berkata, kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN dalam Kerajaan Perpaduan setakat ini membuktikan kedua-dua gabungan mampu bekerjasama, termasuk dalam menghadapi pilihan raya.

Menurutnya, model kerjasama PH-BN juga memberi kelebihan dalam mewujudkan pertandingan satu lawan satu menentang Perikatan Nasional (PN), sekali gus meningkatkan peluang kemenangan kedua-dua gabungan.

Beliau mendakwa, desakan supaya BN bertanding solo sebahagiannya didorong oleh rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin tertentu, termasuk daripada MCA, yang mahu bertanding lebih banyak kerusi walaupun langkah itu berpotensi mencetuskan pertandingan tiga penjuru.

“Dalam keadaan politik semasa, pertandingan tiga penjuru hanya akan melemahkan peluang PH dan BN, selain memberi manfaat kepada pihak lawan,” katanya.

Pada masa sama, beliau mendakwa terdapat kelompok dalam UMNO yang masih percaya parti itu hanya mampu mengembalikan pengaruh dengan bertanding bersendirian dan mengetengahkan calon Perdana Menteri sendiri.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan pilihan raya sebelum ini menunjukkan kemenangan besar di peringkat negeri tidak semestinya diterjemahkan kepada kejayaan di peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, meskipun BN mempunyai kelebihan di Johor, keputusan PRU15 menunjukkan gabungan itu hanya memenangi sembilan daripada 26 kerusi Parlimen di negeri berkenaan berbanding PH yang memperoleh 15 kerusi.

“Tiada rakyat Malaysia yang waras mahu kembali kepada era satu parti dengan UMNO sebagai parti dominan yang menentukan segala-galanya untuk rakyat. Zaman sudah berubah,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor bukan pilihan PH, namun tetap hormati demokrasi – Amirudin

PAKATAN Harapan (PH) mengakui Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan ketika rakyat dan negara sedang berdepan pelbagai cabaran ekonomi...

More Articles Like This