DESAS-desus mengenai kehilangan kelibat vokalis ikonik, Ariel daripada poster Konsert The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita akhirnya terjawab apabila pihak penganjur mengesahkan penyanyi pujaan ramai itu kini sedang berehat panjang daripada sebarang komitmen berkumpulan.
Keputusan mengejutkan itu pastinya merentap hati jutaan peminat setia mereka. Wakil penganjur daripada Black Sky Enterprise, Thata Joyce Sigar mendedahkan bahawa Ariel memilih untuk mengambil fasa ‘hiatus’ demi memberikan fokus sepenuhnya terhadap kerjaya seni secara solo ketika ini.
Undur Diri Dari Noah & Peterpan, Tempoh Rehat Belum Pasti
Penjelasan ini sekali gus menoktahkan spekulasi liar mengenai status terkini penyanyi lagu Mungkin Nanti itu. Ariel disahkan tidak akan terlibat dalam mana-mana projek aktif bersama Peterpan mahupun band Noah buat masa sekarang.
Bercakap kepada media pada sidang akhbar antarabangsa konsert tersebut semalam, Thata memaklumkan bahawa pihak mereka sendiri tidak mempunyai jawapan konkrit mengenai tempoh sebenar pengunduran sementara bintang besar Indonesia itu.

“Ariel kini sedang berehat panjang. Mungkin dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, malah kami sendiri tidak pasti sampai bila tempoh itu akan berlanjutan.
“Dia tidak bersama Peterpan mahupun Noah ketika ini kerana memilih bergerak secara solo. Selepas selesai penggambaran filem, dia kini lebih aktif dengan projek kolaborasi bersama artis lain,” katanya bagi memperincikan situasi sebenar Ariel.
Meskipun menyedari impak ketiadaan vokalis utama itu amat besar, Thata menegaskan keputusan tersebut tidak harus dilihat sebagai satu kehilangan mutlak. Sebaliknya, ia merupakan satu ruang transisi yang positif untuk membuktikan bahawa Peterpan mampu berdiri teguh tanpa kebergantungan sepenuhnya kepada pesona Ariel.
Malah, keputusan berani ini sebenarnya mendapat restu dan sokongan padu daripada Ariel sendiri yang mahukan rakan-rakan seperjuangannya terus aktif menghasilkan karya kreatif.
“Ariel sendiri mahu rakan-rakannya terus berkarya. Sebab itu Peterpan kini bergerak sebagai sebuah band tanpa kebergantungan penuh kepada dirinya.
“Walaupun perjalanan Peterpan tetap ada kaitan dengan Ariel, ini peluang terbaik untuk generasi muda mengenali kumpulan ini dengan lebih dekat,” tambahnya lagi bagi meredakan kerisauan para peminat.
Hael Husaini & Barisan Bintang Top Indonesia Sedia Ambil Alih Pentas!
Bagi mengubati rindu peminat, konsert berskala besar yang penuh dengan elemen nostalgia ini dijadualkan bakal berlangsung pada 11 Julai depan di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Khusus untuk malam tersebut, peminat bakal menyaksikan penyatuan barisan anggota asal Peterpan iaitu Reza, Loekman, Andika, dan Indra di atas satu pentas.
Bagi mengisi kekosongan vokal utama yang ditinggalkan Ariel, penganjur telah merancang satu kejutan besar dengan membawakan barisan vokalis gred-A dari Indonesia dan Malaysia untuk memberikan nafas baharu kepada lagu-lagu hit mereka.
Antara barisan artis jemputan heavyweight yang disahkan bakal menggegarkan pentas termasuklah Marcello Tahitoe (Ello), Tantri Syalindri (Kotak), Rony Parulian, Arda Hatna, Charly Van Houten, serta bintang vokal serbaboleh tanah air, Hael Husaini.
Gandingan mantap antara pemusik asal Peterpan dan barisan vokalis jemputan hebat ini dijangka bakal memberikan impak luar biasa, sekali gus membuktikan bahawa legasi muzik Peterpan tetap hidup dan malar segar walaupun tanpa kelibat Ariel di sisi.
Tiket kini sudah mula dijual, dan peminat dinasihatkan untuk mendapatkannya segera sebelum kehabisan.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

