“Saya dah menggeletar…,” – Penggambaran Griya tergendala 15 minit, Nazim Othman cemas tercucuk mata Nia Atasha

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

KEGHAIRAHAN menterjemahkan adegan aksi bertukar menjadi detik cemas buat pelakon berkaliber, Nazim Othman apabila dia mengakui menggeletar ketakutan selepas secara tidak sengaja mencederakan mata rakan gandingannya, Nia Atasha di set penggambaran.

Insiden tidak diduga yang berlaku ketika menjayakan penggambaran siri Griya: Rahsia Seorang Lelaki itu nyata merentap emosi Nazim, sekali gus menyebabkan proses rakaman terpaksa dihentikan serta-merta bagi meredakan situasi panik yang tercetus.

Menceritakan semula detik cemas tersebut, pemilik nama sebenar Nushrul Alif Othman, 42, menjelaskan kejadian berlaku impak daripada pertukaran kedudukan kamera bagi mencari sudut pandang (angle) baharu untuk babak mengasari Nia.

Nazim berkongsi pengalaman mendebarkan itu ketika ditemui media pada sidang akhbar Watch Party drama bersiri Griya di Petaling Jaya.

“Dalam babak yang saya dipertanggungjawabkan, saya kena mengasari Nia tetapi Ketika kedudukan kamera semasa mencari sudut (angle) ditukar, kami tersasar sedikit dan jari saya tercucuk mata dia (Nia).

“Ketika itu saya secara tiba-tiba diserang kebimbangan melampau (anxiety). Saya rasa bersalah sangat sebab bahagian mata sangat sensitif.

“Saya hanya fikir ‘macam mana ini?’… mata orang dan perempuan pula itu, memang saya sangat risau,” katanya kepada URTV.

Impak daripada kecederaan tidak sengaja pada bahagian organ sensitif tersebut, Nazim mendedahkan emosinya terganggu sehingga seluruh badannya menggigil akibat diserang rasa bersalah yang teramat sangat, terutamanya apabila memikirkan mangsa merupakan seorang wanita.

Pihak produksi terpaksa mengambil masa selama 15 minit bagi menangguhkan penggambaran demi membolehkan emosi Nazim kembali stabil sebelum meneruskan baki rakaman.

“Babak itu memang ganas, tapi selepas kejadian itu kami kena berhenti berehat sekejap sebab saya sendiri kena tenangkan diri,” ujarnya.

Bagaimanapun, Nazim meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga apabila Nia langsung tidak melenting, sebaliknya mempamerkan kualiti seorang pelakon yang berjiwa besar.

Meskipun berada dalam keadaan menanggung kesakitan dan ketidakselesaan pada matanya, Nia secara matang bertindak memujuk Nazim yang sedang panik di set penggambaran.

“Nia seorang pelakon yang sangat profesional dan matang. Dia yang tenangkan saya sebab saya terlalu risau ketika itu.

“Saya juga ada alami kecederaan ringan seperti luka kecil di tangan. Tapi tak mengapa sebab bahagian tangan saja, lagipun saya lelaki, okay saja,” ujarnya memuji kredibiliti heroinnya itu.

Sebagai info, naskhah sarat konflik psikologi, Griya, menyaksikan Nazim memegang watak sebagai Razman, seorang lelaki misteri yang memiliki sisi gelap yang kompleks serta emosi yang tidak stabil. Peminat boleh menyaksikan gandingan serasi dan penuh debaran antara Nazim dan Nia menerusi siri terbaharu ini.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan minggu akhir drama Griya: Rahsia Seorang Lelaki terbitan Skop Productions secara eksklusif di aplikasi iQIYI. Lebih mengujakan, anda boleh juga menonton secara ‘marathon’ penuh di aplikasi iQIYI.

Selain Nazim dan Nia, drama ini turut dibintangi oleh Chacha Maembong, Scha Alyahya, Dynas Mokthar dan Hazama.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Ungu dah lama ‘intip’ Marsha Milan, lamar jadi teman duet konsert 30 tahun di Kuala Lumpur

SELESA berada dalam kelas tersendiri selepas tiga dekad mendominasi carta muzik Nusantara, kumpulan Indonesia, Ungu kini menghitung hari untuk...

More Articles Like This