SERAMAI 72 pekerja asing ditahan dalam operasi bersepadu membabitkan beberapa premis makanan di sekitar bandar raya Johor Bahru selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk bekerja tanpa dokumen sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Serbuan jam 8 malam Jumaat lalu itu dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor hasil risikan dan pemantauan berterusan.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi bersepadu berkenaan dijalankan bagi mengesan serta membanteras kehadiran warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Menurutnya, operasi yang dijalankan serentak di beberapa premis makanan itu mengesan kehadiran warga asing yang bekerja tanpa pas sah selain menyalahgunakan kemudahan pas lawatan sosial.
“Pemeriksaan awal mendapati seramai 72 pekerja asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 24 lelaki dan 48 wanita warga asing berusia antara 19 hingga 46 tahun yang bekerja sebagai pelayan restoran serta tukang masak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, antara yang ditahan ialah 17 lelaki warga Myanmar, empat lelaki Indonesia, tiga lelaki Vietnam, selain 37 wanita Vietnam, seorang wanita China dan 10 wanita Indonesia.
Katanya, pemeriksaan menyeluruh turut dilakukan terhadap pekerja dan majikan tanpa sebarang kompromi bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan serta tindakan lanjut.
“Sebanyak lima Borang 29 iaitu saman kepada saksi turut dikeluarkan sepanjang operasi bagi membantu siasatan,” katanya.
Mohd Rusdi berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan tanpa mengira lokasi dan waktu bagi mengesan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang negara.
Katanya, operasi bersepadu itu mencerminkan komitmen berterusan agensi penguat kuasa dalam memperkukuhkan kawalan keselamatan, memelihara ketenteraman awam serta memastikan kedaulatan undang-undang negara terus terpelihara.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

