URUSAN pentadbiran Kerajaan Negeri Johor akan terus beroperasi pada tahap minimum menjelang berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Perjalanan pentadbiran itu tetap berlangsung walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor telah dibubarkan pada 1 Jun lalu.
Dalam hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, semua urusan harian pentadbiran berjalan seperti biasa dan memerlukan perhatian rapi.
Sehubungan itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, semalam.
Sesi menghadap yang berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru itu bertujuan mempersembahkan makluman terkini mengenai urusan kerajaan negeri.
Menurut hantaran itu, pertemuan berkenaan sebahagian daripada rutin berkala antara Seri Paduka dan Menteri Besar, yang tetap diteruskan dalam pengurusan kerajaan sementara selepas pembubaran DUN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi menentukan tarikh penting PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

