YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan penarikan balik kurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota (P.S.M) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ kepada Datuk Mohd Isa Abdul Samad berkuat kuasa 8 Jun lalu.
Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, penarikan balik gelaran ‘Tan Sri’ itu disebabkan Mohd Isa telah disabitkan kesalahan.
Menurut kenyataan itu, Mohd Isa ketika ini sedang menjalani hukuman pemenjaraan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
“Penarikan balik kurniaan ini adalah selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia perenggan XXV dan XXVIA yang menyatakan darjah kebesaran boleh ditarik balik jika disabitkan dengan sesuatu kesalahan.
“Selain itu ia susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung penarikan balik darjah kebesaran sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 7 September 2024 di Istana Negara,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Mohd Isa, 76, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan membebaskan beliau dan mengembalikan sabitan rasuah, hukuman penjara serta denda terhadapnya.
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta, dengan tambahan hukuman penjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 membebaskan Mohd Isa daripada semua sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

