BEKAS Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berdepan cabaran empat pesaing dalam usaha memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.
Maszlee dipertaruhkan oleh Pakatan Harapan (PH) bagi merampas semula kerusi Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Sebagai rekod, pada PRN 2022 lalu, PH ketika itu memberi laluan kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk bertanding di kerusi tersebut.
Kali ini, Maszlee turut berdepan saingan calon MUDA, Rashifa Aljunied dalam pertandingan lima penjuru itu.
Selain itu, Barisan Nasional (BN) pula mempertaruhkan Teow Chia Ling; Nicholas Paul Vincent mewakili Parti Bersama Malaysia dan calon Bebas, Wang Wee Siong.
DUN Puteri Wangsa disandang oleh Amira Aisya Abd Aziz daripada MUDA, namun beliau tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN kali ini.
Amira menang kerusi Puteri Wangsa dengan majoriti 7,114 undi dalam saingan enam penjuru.
DUN berkenaan mempunyai jumlah pengundi keseluruhan 128,723 yang merangkumi 128,525 pengundi biasa dan 198 pengundi anggota polis dan pasangan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerusi tersebut dimenangi calon PH iaitu Mazlan Bujang dengan majoriti 24,959 undi.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

