KUALA LUMPUR – Hubungan politik antara dua musuh lama, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap sudah menghampiri ‘berpatah arang dan berkerat rotan’, apabila masing-masing membuat kenyataan mengkritik antara satu sama lain.

Malam tadi, Dr.Mahathir berkata, beliau tidak mempercayai Anwar selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu pada Rabu mengumumkan sedia bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri itu secara bersyarat menerusi cadangan pembentukan gagasan pembangkang perdana.

Dr. Mahathir berkata, Anwar yang ‘tolak bulat-bulat’ ketika beliau dan kumpulan penyokongnya menawarkan kerjasama dengan PH.

“Selepas PH kehilangan kuasa, kami berusaha untuk bekerjasama biarpun Parti Bersatu tidak lagi bersama PH, kami cuba menjadikan kerjasama itu kenyataan melalui PH Plus.

“Saya tawarkan kepada Anwar untuk saya memegang jawatan Perdana Menteri selama enam bulan, tetapi beliau tolak kerana menganggap jawatan itu miliknya. Kemudian saya cadangan nama Datuk Seri Shafie Apdal (sebagai Perdana Menteri) dia tolak juga.

“Soalnya ialah beliau tidak boleh menjadi Perdana Menteri tanpa cukup sokongan,” katanya dalam sidang akhbar melalui Facebook Parti Perjuangan Tanah Air (Perjuang).

Ditanya berhubung dakwaan Anwar bahawa beliau mempunyai cukup majoriti, Dr.Mahathir berkata, beliau tidak lagi mempercayai apa yang dikatakan oleh Presiden PKR itu.

Dr. Mahathir Mohamad ketika sidang akhbar selepas Majlis Amanat Parti Perjuang di Shah Alam, malam tadı.
Turut kelihatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Sudah berapa kali beliau mendakwa, beliau ada majoriti kuat, kukuh dan menyakinkan? Eh, you pi baliklah. Kalau kamu masih mahu mempercayai beliau, itu masalah anda. Tetapi saya sudah tidak lagi mempercayainya,” katanya.

Mengenai Perikatan Nasional (PN), Dr.Mahathir menafikan dakwaan bahawa PN sedang mentadbir negara ini sebagai sebuah kerajaan Melayu Islam.

Sebaliknya kata bekas Perdana Menteri itu dakwaan tersebut merupakan suatu pembohongan kerana PN dibangunkan dengan sokongan beberapa ahli politik bukan Melayu atau bukan Islam.

“Kalau ada dua tiga orang Cina dan India ini tak sokong, jatuh kerajaan. Dua tiga (ahli parlimen) yang bukan Islam ini boleh jatuhkan kerajaan,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, antara pihak yang bekerjasama mewujudkan kerajaan PN juga terdiri daripada ahli parlimen yang meninggalkan PKR.

“Siapakah mereka ini? Islam semuakah? Kita tak periksa lagilah tapi nampak macam bukan semua Islam. Sekali lagi mereka bergantung kepada yang bukan Islam ni untuk mendapatkan cukup bilang mendirikan kerajaan. Penyokong-penyokong Azmin Ali umpamanya, empat orang adalah bukan Islam,” katanya.