KILANG Daihatsu yang menjadi sumber model Perodua.

KUALA LUMPUR — Siapa menjangka di sebalik kegawatan ekonomi dan kehidupan rakyat Malaysia terjejas kerana dilanda wabak yang menggerunkan dunia, pasaran automotif tempatan masih kekal kukuh.

Ini bermakna jumlah kenderaan yang dijual di negara ini tidak mengalami penurunan ketara di sebalik ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan dan perniagaan terpaksa gulung tikar.

Peserta industri automotif tempatan yang merangkumi pembekal dan pengedar bebas yakin jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) tahun ini akan melebihi jumlah minimum 500,000 unit meskipun ketika menghadapi ketidakpastian berikutan pandemik COVID-19.

Presiden Persatuan Pembekal Perodua (P2SA), Musa Zahidin Ahmad Zaidee yakin dengan sentimen itu walaupun industri terhenti buat sementara bagi tempoh Mac hingga Mei tahun ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik.

“Pembekal tempatan bimbang TIV tahun ini akan susut di bawah 500,000 unit yang akan memberi risiko kepada ahli kami memandangkan mereka membekalkan komponen automotif dalam satu bentuk atau yang lain kepada banyak peserta pasaran ini,” katanya kepada Bernama dalam satu kenyataan.

P2SA mempunyai 129 ahli dan menggaji hampir 50,000 pekerja di seluruh negara, katanya.

Beliau berkata selain membekalkan komponen kepada pembuat peralatan tulen (OEM), ahli P2SA juga membuat alat ganti untuk industri automotif Malaysia.

Setakat November, TIV Malaysia mencecah 454,708 unit kenderaan dan jumlahnya dijangka melepasi angka 500,000 sehingga akhir tahun.

Lanjutan pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun, 2021 dari 31 Dis, 2020 seperti diumumkan kerajaan baru-baru ini turut dijangka membantu melonjakkan jualan kenderaan baharu dalam keadaan pandemik.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengedar Perodua Malaysia, Khairul Nizam Ayob yang turut senada dengan Musa Zahidin berkata pengedar bebas juga merasa lega memandangkan jumlah jualan memberi impak positif kepada mereka apabila pekerjaan dapat dikekalkan selain untuk membayar kos overhed tahun ini.

“Ahli kami bekerjasama rapat dengan prinsipal kami untuk menjual sebanyak mungkin kereta tahun ini memandangkan kami menyedari pelanggan mahu memanfaatkan insentif pengecualian cukai jualan yang diberikan kerajaan untuk memacu industri automotif.

“Jualan Perodua yang memberangsangkan selama beberapa bulan lepas adalah bukti komitmen kami untuk menjual sebanyak mungkin kenderaan tahun ini bagi manfaat dan kepuasan pelanggan,” katanya. – UTUSANTV