KUALA LUMPUR – Selepas diasak bertubi-tubi oleh rakan sendiri dalam UMNO dan dianggap jurucakap kepada parti Bersatu, Tan Sri Annuar Musa hari ini dengan tegas menyatakan beliau bukanlah pondan politik apabila tidak menjawab ‘serangan’ yang dilakukan ke atasnya melalui media sosial.
Tegas beliau, parti boleh membuat apa juga keputusan tetapi ia harus dibincangkan mengikut saluran yang betul.
“Nak bincang di mana? Kita bincang di tempat sesuai, bukan dalam Facebook, bukan dalam grup WhatsApp. Parti boleh buat apa saja keputusan, tapi bincang biar bertempat. Sesama ahli Majlis Tertinggi (MT), berapa kali nama saya dibedal oleh sama-sama ahli MT. Sampai hari ini saya pilih untuk tak menjawab. Sebab bukan kelasnya kita duduk dalam Majlis Kerja Tertinggi, bedal sesama sendiri.
“Cara orang lain saya tak tahu, tapi bukan cara saya. Tapi saya bukan pondan. Saya bukan pondan politik, tengoklah rekod saya, dalam bab bergaduh dan berlawan ni …boleh tahan juga, Dr.Mahathir pernah saya lawan, Tok Guru Nik Aziz pernah saya lawan, Tengku Razaleigh pernah saya lawan..” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ketereh 2020 yang disiarkan secara langung melalui Facebook beliau hari ini.
Annuar berkata, kalau betul UMNO mahu menarik balik sokongan daripada Perikatan Nasional (PN) biarlah ia diputuskan oleh parti (secara rasmi) bukan melalui saluran yang tidak sepatutnya.
“Tapi saya nak tanyalah, keluar tu nak pergi ke mana? Keluar nak jadi pembangkang ke? Keluar nak sertai DAP ke? Keluar nak bergabung dengan Anwar Ibrahim ke? Kalau itu jalan nak keluar, ayuh kita bincang dulu,’’ katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh.
Mengenai dakwaan beliau mendahului Presiden apabila membuat kenyataan dalam sesuatu isu, Annuar meminta mereka membuat tuduhan berkenaan mengemukakan bukti.
“Sebut satu perkara yang saya mendahului presiden. Sebut dengan saya satu perkara yang saya katakan bukan keputusan parti. Cuma bezanya kadangkala, benda diputuskan oleh parti, semua berdiam tak nak bercakap, bila Setiausaha Agung sebut, orang kata sayalah yang mendahului presiden.
Masalahnya yang kita bincang, kadang-kadang tak sampai ke akar umbi. Di atas kita bawa satu rentak, di bawah, kita bawa satu rentak yang lain. Ini yang menjadikan masalah. Sekarang saya tak tahu, rentak mana yang betul,” katanya yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional.
Annuar juga menggariskan lima prinsip yang menjadi keputusan parti dan dipegang oleh beliau sehingga ke hari ini, selagi parti tidak mengubahnya, biarpun apa orang mahu kata.
Beliau berkata, lima prinsip tersebut ialah pertama UMNO bersetuju bersama Pas dan bergabung membentuk Kerajaan PN, kedua UMNO bersetuju dan bersukarela menandatangani akuan bersumpah menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, ketiga UMNO bersetuju bahawa mempertahankan prinsip tiada kerjasama denga DAP, ‘No DAP, No Anwar’, keempat UMNO bersetuju dan Majlis Tertinggi bersetuju untuk terus menyokong kerajaan PN dan kelima, UMNO putuskan sokongan haruslah secara enbloc.
‘’Inilah keputusan parti yang tidak pernah diubah sehingga ke hari ini dan UMNO Ketereh berpegang kepada keputusan ini selagi ia tidak diubah oleh parti,’’ katanya.

