KUANTAN – Nelayan di Johor dan Pahang diminta tidak turun ke laut sama sekali manakala mereka yang tinggal di kawasan rendah berdepan risiko banjir apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca bahaya (merah) di beberapa kawasan di Johor dan Pahang.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, hujan sangat lebat dijangka berterusan hari ini di Johor iaitu di Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru, manakala hujan lebat dijangka berterusan di Segamat, Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Pontian sehingga esok.

Hujan lebat juga dijangka berlaku di Pahang sehingga esok iaitu di Kuantan, Pekan dan Rompin.

Amaran cuaca waspada (kuning) dengan hujan lebat pula dikeluarkan bagi Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera di Pahang serta Kelantan dan Terengganu, manakala di Tangkak dan Muar, Johor sehingga Isnin.

Kerja pembaikan masih diteruskan hari ini dengan pengguna Jalan Kuantan-Segamat diminta gunakan laluan alternatif

Sementara itu, Jalan Kuantan-Segamat, Pekan di Kilometer 63 dan 73 masih ditutup kepada semua kenderaan setakat petang ini susulan tanah runtuh akibat hujan lebat semalam.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya yang ingin ke Kuantan dari Segamat dan sebaliknya diminta menggunakan jalan alternatif.

Pengguna dari arah Segamat, Johor boleh melalui Jalan Leban Chondong, Muadzam Shah-Rompin-Nenasi-Pekan-Kuantan.

Mereka dari arah Gambang dan Kuantan pula boleh melalui Jalan Pekan-Paloh Hinai-Bandar Pekan-Leban Chondong, Rompin.

Sementara itu, Jurutera Jabatan Kerja Raya Pekan, Suhamain Sulan dalam notis pemberitahuan memaklumkan jalan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan selama dua hari bermula semalam.

“Kami memohon maaf di atas segala kesulitan dan meminta pengguna menggunakan jalan alternatif yang dimaklumkan,” katanya.

Kerja pembaikan jalan dan alihan serta cucian tanah runtuh sedang dijalankan.