KUALA LUMPUR – UMNO harus insaf dan mengambil iktibar bahawa Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 79 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 berbanding 133 pada PRU-13.

Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, selain memutuskan yang terbaik, ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) yang bermesyuarat malam ini juga perlu membuat keputusan yang jelas di mata ahli dan rakyat tentang apa sebenarnya UMNO inginkan.

“Iktibar yang harus diambil oleh UMNO adalah kita (BN) hanya menang 79 kerusi pada PRU-14 daripada 133 kerusi yang kita menangi pada PRU-13.

“Ini bermakna kita kehilangan 54 kerusi. Kita harus insaf dari pengalaman ini.

“Tambahan pula, kita masih berperang dengan COVID-19. Kes harian masih tinggi. Selain itu, negara sedang dilanda banjir. Ekonomi juga sedang dipulihkan. Jumlah rakyat yang terkesan semakin meningkat.

“UMNO sedang diberi peluang untuk membuktikan kepada rakyat bahawa pemimpin kita prihatin, berkemampuan dan bersungguh-sungguh untuk mengurus krisis serta menitikberatkan kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, gerakan terancang untuk mengadakan PRU Ke-15 sebelum wabak COVID-19 berupaya dikawal, disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, percaturan yang mementingkan diri sendiri itu, tidak sewajarnya dilakukan.

“Mereka yang menuntut supaya PRU diadakan sebelum pandemik dapat dikawal sepenuhnya ialah tindakan tidak bertanggungjawab.

“Dan saya tahu antara yang minta PRU segera ialah mereka daripada parti saya sendiri,” katanya menerusi Twitter beliau.