Kenapa MT UMNO tidak putuskan kedudukan dalam Kerajaan PN?

0
1022
Ahmad Zahid Hamidi berkata sesuatu kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO bermula di Menara Dato’Onn, Kuala Lumpur, semalam.-Gambar UMNO ONLINE

ANALISIS

Sepanjang minggu begitu gempak gempita arena politik negara berikutan kenyataan beberapa pemimpin UMNO bahawa parti itu akan menentukan sama ada akan terus bersama Kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau tidak melalui mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam tadi.

Keadaan itu menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat kerana jika benarlah keputusan itu dibuat sudah pasti kacau bilau politik akan tercetus lagi ketika sebahagian negeri dilanda banjir dan kes pandemik Covid-19 semakin membimbangkan.

Justeru ramai juga yang bersengkang mata menanti mesyuarat MT UMNO berakhir malam tadi kerana mahu mengetahui apa keputusannya. Bagaimanapun UMNO apa yang digembar-gemburkan sebelum ini tidaklah sehebat apa yang diumumkan melalui kenyataan media oleh Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

UMNO hanya memutuskan membawa tiga usul utama yang dibangkitkan dalam mesyuarat bahagian-bahagian termasuk desakan menolak kerjasama dengan Parti Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan dibahaskan dan diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari ini.

Dua lagi usul adalah berkaitan mempertahankan hubungan dengan Pas dan menggesa PRU-15 diadakan sebelum berakhir suku pertama 2021 tertakluk kepada keadaan Covid-19.

Antara alasan yang diberikan ialah usul itu berkaitan soal dan pendekatan asas yang mempunyai kesan kepada masa depan parti dan negara, tetapi bagaimana dengan pendirian UMNO mengenai Kerajaan PN?

Inilah persoalan paling penting dan menjadi tumpuan ramai memandangkan ia penentu kepada kestabilan politik negara dan kehidupan rakyat. Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin UMNO mengenai kedudukan parti itu dalam PN sebelum ini telah mencetuskan keresahan kepada rakyat.

Sepatutnya MT UMNO menyatakan dengan jelas apakah pendirian berhubung perkara itu. Soal desakan bahagian menolak kerjasama dengan Bersatu hanya terpakai apabila PRU-15 diadakan, bukan sekarang, maknanya kalaupun ia mahu diputuskan di perhimpunan Agung tidak ada masalah.

Yang penting kedudukan UMNO dalam Kerajaan PN memandangkan sebelum ini segelintir pemimpin UMNO membayangkan seolah-olah Kerajaan PN akan tumbang apabila majlis tertinggi selesai bermesyuarat.

Debaran semakin kencang apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dikatakan akan mengadakan sidang akhbar selepas mesyuarat berkenaan namun kesudahannya seperti biasa, hanya kenyataan akhbar diedarkan.

Apapun keputusan MT UMNO semalam hanya akan meresahkan rakyat dan mungkin akan terus mewujudkan ketidakstabilan politik kerana mereka perlu menunggu 31 Januari untuk melihat sama ada Kerajaan PN akan dapat bertahan atau tumbang.

Justeru jika ketidakstabilan tersebut berlaku, UMNO tidak boleh melenting jika mereka dipersalahkan atau dituduh terus mahu berpolitik ketika negara sedang berhadapan dengan pelbagai masalah.

Memang benar, tindakan UMNO itu disebabkan perbalahan dengan Bersatu tetapi janganlah menyeret rakyat. UMNO sepatutnya membuat pendirian lebih tegas dan jelas sama ada akan terus bersama Kerajaan PN sehingga PRU-15 diadakan atau mengambil langkah drastik meninggalkan kerjasama yang terbentuk 9 bulan lalu itu sekarang.

Ramai tertanya-tanya kenapakah MT UMNO tidak membuat keputusan sedemikian? Apakah ia ada kaitan dengan pendedahan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berhubung tindakan Ahmad Zahid menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri? Atau berlaku penentangan keras daripada ahli-ahli MT berhubung desakan supaya UMNO keluar daripada Kerajaan PN?

Kita tidak pasti tetapi penulis percaya ramai pemimpin UMNO tidak selesa dengan perbalahan yang tercetus ketika ini termasuklah tindakan sesetengah pemimpin parti itu yang mahu ‘berkerat rotan dan berpatah arang’ dengan Bersatu. Apatah lagi dalam situasi negara sekarang sepatutnya UMNO tidak melakukan tindakan yang boleh mencetuskan lagi keresahan rakyat.

Sebab itulah seperti mana kata Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein beberapa jam sebelum mesyuarat MT semalam bahawa, ‘’dalam menentukan kerjasama politik, UMNO harus mempunyai hala tuju, objektif dan sebab yang jelas dalam merancang jalan ke hadapan parti’’.

Malangnya MT UMNO tidak berbuat demikian. Soalnya adakah parti itu kini berada ‘di jalan mati’ untuk membuat keputusan tersebut memandangkan khabarnya jumlah bahagian yang menentang desakan menolak kerjasama dengan Bersatu dikatakan jauh lebih rendah berbanding apa yang diumumkan? Atau mereka sudah mendapat maklumat jika diteruskan UMNO mungkin berada dalam keadaan ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’? Segala berkemungkinan.