Pengasas MUDA, Syed Saddiq Abdul Rahman bersama Pengasas Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad./ Gambar media sosial

KUALA LUMPUR – “Kenapa pendaftaran Perikatan Nasional (PN) boleh dibuat dalam masa tiga hari sahaja,” soal Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Tegas pengasas parti Malaysian United Democratic Alliance (MUDA) yang ditolak pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS), begitu juga pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dahulu yang mana prosesnya dapat dilakukan dalam tempoh tak lebih 30 hari sahaja.

Sedangkan, kata beliau, MUDA sudah memenuhi sedaya upaya syarat dan kehendak yang ditetapkan Jabatan Pendafataran Pertubuhan sejak mengemukakan permohonan lebih tiga bulan lalu.

“Itu persoalan yang saya tak faham. Harap pihak sana (kerajaan) dapat jawab dengan jujjur dan ikhlas,” katanya.

Syed Saddiq berkata demikian ketika ditemu bual stesyen berita Astro Awani hari ini bagi mengulas penolakan pendaftaran MUDA seperti dimaklumkan jabatan itu.

Sementara itu, Presiden penaja Parti Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula berkata, pihaknya sudah dapat mengagak hal ini akan berlaku.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan ada pihak yang kurang senang dengan kewujudan Pejuang.

Presiden Penaja Pejuang, Mukhriz Tun Mahathir ketika serah permohonan kepada RoS beberapa bulan lalu / Gambar media sosial

“Alasan penolakan bahawa permohonan kami tidak teratur, itu saya kira tidak teratur khususnya dalam Jadual 1 Akta Pertubuhan.

“Ia benda sangat umum seperti nama parti, anggota penaja, alamat dan sebagainya yang saya rasa tak wajar dijadikan alasan untuk menolak permohonan.

“Kalau pun ada kepincangan, mereka telah bangkitkan menasihati kami untuk ikut cara RoS dan kami ikut sampailah dipenuhi.

“Saya agaklah, ini keputusan politik kerana permohonan ini telah diangkat ke peringkat menteri. Mungkin ada rasa wujudnya Pejuang ancaman kepada parti lain,” katanya dipetik dari temu bual dengan Astro Awani.

Tambah Mukhriz, Pejuang sedang pertimbang untuk kemukakan rayuan kepada KDN bagi membolehkan mereka mengambil bahagian pada PRU-15.

“Kami mahu sertai PRU-15 sebagai Pejuang walaupun ada beberapa opsyen lain,” ujarnya.