Anwar, Guan Eng dan Mohamad Sabu tolak alasan darurat

0
148

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) menolak rasional serta alasan pengisytiharan darurat bagi menyelamatkan Malaysia daripada COVID-19.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini.

Bagi PH, undang-undang sedia ada, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumum semalam, adalah mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak itu.

“Sebagai contoh, dalam isu mengambil alih hospital swasta untuk membantu dalam kes COVID-19, sememangnya mereka bersedia membantu pihak kerajaan dan kuasa darurat tidak diperlukan untuk mendapatkan kerjasama mereka,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Berkenaan isu pilihan raya pula, Majlis Presiden PH berpendapat tindakan yang telah dilakukan sebelum ini, iaitu perisytiharan darurat bagi sesebuah bahagian Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah memadai.

Mereka juga berpandangan Pilihan Raya Negeri Sarawak pula, ia tidak perlu dilakukan hingga selewat-lewatnya penghujung Ogos 2021, manakala Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pula hanya perlu diadakan menjelang 2023.

“Oleh itu, alasan yang dikemukakan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam isu ini tidak dapat diterima sama sekali.

“Malah kami melihat tindakan menggantung Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri pada ketika pihak eksekutif dan kehakiman masih boleh berfungsi seperti sedia kala menjejaskan proses semak imbang, merencat demokrasi negara dan menafikan suara rakyat,” katanya.

Kuasa darurat ini menurut kenyataan itu bermakna memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri untuk melakukan hampir apa sahaja, sewenang-wenangnya.

Majlis Presiden turut menimbulkan kebimbangan bahawa proklamasi darurat itu akan menjejaskan usaha menghidupkan semula ekonomi serta keyakinan pelabur, dan tidak akan membantu mengatasi masalah pengangguran dan kehilangan pendapatan rakyat.

Oleh itu, PH berpandangan tindakan Muhyiddin mengusulkan darurat pada ketika beliau sudah kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen, termasuk Ahli Parlimen Machang dan Padang Rengas, bermaksud langkah ini tidak boleh diterima sama sekali.

“Jangan berselindung di sebalik COVID-19 dan membebankan rakyat dengan pengisytiharan darurat demi menyelamatkan diri sendiri,” kata kenyataan itu.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk tidak terlepas berita terkini dan artikel menarik