Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan 1 sangkal tuduhan langgar PKP

0
187
Datuk Dr Noor Azmi Ghazali./ Gambar FB KKM

PUTRAJAYA – Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan 1 menyangkal laporan dua portal berita yang mendakwa Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menerima kunjungan sekumpulan individu di pejabatnya sekali gus melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan dan lima negeri lain pada 13 Januari.

Berikut kenyataan penuh Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan 1:

Dua portal iaitu MalaysiaPost.Com dan Malaysiakini telah memuat naik artikel tidak benar berkaitan YB Timbalan Menteri Kesihatan 1.

MalaysiaPost dengan artikel bertajuk “Timbalan Menteri Kesihatan Langgar PKP lagi?” pada 13 Januari 2021. Malaysiakini pula dengan artikel bertajuk “Timbalan menteri kesihatan padam gambar lepas disyaki ingkar SOP” pada jam 10.42 malam, 13 Januari 2021.

Kedua-dua artikel dari portal itu mendakwa YB Timbalan Menteri Kesihatan 1 menerima kunjungan sekumpulan individu di pejabatnya dan mendakwa telah melanggar PKP yang dilaksanakan pada 13 Januari 2021, iaitu hari ini.

Tulisan dan dakwaan yang dibuat oleh kedua-dua portal tersebut adalah tidak benar sama sekali. Gambar kunjungan tersebut adalah pada 12 Januari 2021 iaitu sehari sebelum perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP diadakan.

Oleh itu pihak Pejabat YB Timbalan Menteri Kesihatan 1 memohon agar portal terbabit menarik balik tuduhan, dakwaan dan maklumat tidak benar yang disiarkan dalam portal terbabit dengan segera.

Dakwaan yang tidak benar sebegitu boleh memberikan persepsi buruk masyarakat terhadap YB Timbalan Menteri 1 dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia.

Disediakan oleh;
Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan 1,
Kementerian Kesihatan Malaysia.