KUALA LUMPUR – Pelakon Saharul Ridzwan mendedahkan jika dia enggan terlalu bergantung punca pendapatan dalam dunia seni semata-mata.
Sebaliknya, Saharul atau Mohd. Saharul Ridzwan berkata, dia perlu merancang masa depan terutamanya sumber kewangan dengan sebaiknya ketika dirinya masih ada ‘nilai’ dalam industri.
Justeru itu, bapa kepada dua orang cahaya mata ini secara serius kini sedang giat menceburi ilmu perniagaan bagi membuka empayar sendiri.
“Saya terfikir kalau satu hari nanti secara tiba-tiba saya hilang mata, cacat fizikal tubuh badan ke, masa itu ada ke orang nak ambil saya berlakon lagi?.
“Waktu itu saya sudah tidak ada apa-apa lagi nak ‘dijual’ dalam industri seni. Itu yang menjentik hati saya untuk ceburi bidang perniagaan sebagai pendapatan sampingan.
“Lagipun saya sudah berkahwin dan ada anak-anak yang bakal bersekolah. Saya tak boleh fikir apa yang akan jadi pada keesokan hari. Saya kena fikirkan 10 atau 20 tahun akan datang,” katanya kepada URTV.
Saharul ditemui pada majlis pelancaran produk makanan ringan Palut’s Food di Puncak Alam, Selangor. Dia dilantik sebagai duta untuk kudapan Banana Salai Crispy

Sementara itu, pelakon drama Korban Kasih ini meluahkan rasa syukur kerana pendapatannya pada 2020 bertambah dua kali ganda walaupun negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.
Katanya, dia sendiri tidak menyangka jika rezekinya pada tahun lalu masih ada walaupun diketika ramai yang terkesan akibat wabak tersebut.
Sebelum ini, Saharul dituduh oleh netizen kerana tidak ada tawaran lakonan selepas dia mempromosikan perniagaan menjual pisang berangan di Instagram.
Seorang warga siber telah menghantar mesej langsung kepada Saharul dan mengatakan tindakan pelakon itu menjual pisang sebagai memalukan imej seorang artis yang berniaga di gerai.
TONTON VIDEO PILIHAN:

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

