Cinta terlarang antara dua alam, Isma Sane tampil dengan single Sepi

0
681
Isma Sane

KUALA LUMPUR – Penyanyi yang membina nama dengan lagu Derita dan Kembali, Isma Sane kini tampil dengan karya ketiga berjudul Sepi.

Sepi memaparkan kisah sebenar yang dilalui sendiri oleh Isma saat ditinggalkan dan memilih sahabat karibnya sendiri sebagai pengganti hingga dia memilih untuk menyepi.

Single tersebut digarap sebaiknya oleh Isma yang mana bait lirik serta susunan muzik yang sesuai bakal membuatkan para pendengar ralit terbuai dengan melodinya.

Sementara itu, plot penceritaan untuk video muziknya pula, disusun secara sinematik yang mengisahkan tentang perhubungan yang terlarang di antara dua alam.

“Lagu Sepi ini berkisahkan tentang pengalaman percintaan saya sewaktu zaman belajar. Saya mencipta lagu sepi pada 2019 yang ketika itu saya masih bergelar pelajar. Proses rakaman vokal single ini hanya memakan masa dua hari sahaja.

“Proses penggambaran video muzik pula dijalankan di Hulu Langat dan mengambil masa satu hari untuk disiapkan.

“Menariknya dalam video muzik ini ialah menceritakan tentang percintaan yang terlarang di antara dua alam. Saya digandingkan bersama Hawa Johanis yang merupakan seorang personaliti media sosial terkenal,”katanya.

Sementara itu Isma turut berharap agar Sepi dapat diterima baik oleh peminat muzik tempatan dan juga di luar negara seperti Singapura dan Indonesia.

ISMA Sane berharap Sepi diterima baik oleh pendengar

“Saya harap lagu ini dapat memeriahkan lagi persada seni muzik tanah air. Sokongan padu daripada semua pihak diharap dapat membuka peluang yang lebih cerah dan boleh terus berkarya dengan karya bermutu setanding muzik antarabangsa.

“Saya harap Sepi diterima baik di negara ini mahupun di luar negara khususnya Singapura dan Indonesia,”ujarnya.

Sepi merupakan hasil gabungan kerjasama antara BeeGood Music dan Universal Music Malaysia ini sudah pun dilancarkan sejak 8 Januari lalu dan video muziknya juga boleh ditonton menerusi saluran Youtube BeeGood Music.