Presma sebelum ini turut memohon waktu operasi restoran dilanjutkan sehingga jam 10 malam sepanjang tempoh PKP. GAMBAR: Abd Razak Aid

KUALA LUMPUR – Seramai 21 Ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan membenarkan waktu operasi kedai makan dan minuman di negeri-negeri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan berbanding setakat jam 8 malam ketika ini.

Perkara itu antara cadangan mereka dalam memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pelaksanaan PKP.

Dalam kenyataan bersama itu, mereka berkata ini memandangkan pelanggan tidak dibenarkan makan dalam kedai dan penjualan makanan adalah secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran ke rumah.

“Masa operasi kedai makanan dan minuman seperti sekarang menyusahkan mereka yang perlu membeli makanan selepas tamat waktu bekerja.

“Membenarkan para peniaga beroperasi mengikut lesen perniagaan mereka akan membantu memulihkan ekonomi para peniaga, menjana pendapatan penghantar makanan serta menggalakkan rakyat duduk di rumah kerana mereka boleh membuat pesanan dari rumah dan tidak terhad sehingga jam 8 malam sahaja,” kata kenyataan tersebut seperti dilapor portal Astro Awani.

Antara Ahli Parlimen pembangkang yang menandatangani kenyataan tersebut termasuk Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin dan Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian.

Ahli Parlimen itu juga menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memperbaiki SOP tersebut kerana ia memberi kesan kepada para peniaga yang hanya bergantung kepada pendapatan harian mereka.

“Kami juga menggesa kerajaan melanjutkan moratorium sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan lagi.
“Berbanding PKP fasa pertama, para peniaga mungkin lebih teruk terjejas kali ini kerana mereka terpaksa menanggung pembayaran sewa kedai dan gaji pekerja tanpa adanya moratorium seperti sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan masih belum mempertimbangkan untuk melanjutkan waktu operasi kedai makan dari pukul 8 malam hingga 10 malam di negeri yang terbabit dengan PKP.

Ini selepas Persatuan Pemilik Restoran India Muslim Malaysia (Presma) meminta kerajaan membenarkan waktu operasi premis makanan dilanjutkan sehingga jam 10 malam selain membenarkan pelanggan makan dengan konsep terhad dua orang semeja.

Menurut Presma, hasil jualan mereka merosot 80 peratus dengan pelaksanaan PKP bermula Rabu lalu.