SEBUAH hadis yang disebut di dalam sahih Bukhari; Telah disampaikan kepada kami oleh Yahaya bin Bukair, telah menceritakan kepada kami oleh al-Laits daripada Uqail daripada Ibnu Syihab daripada Urwah daripada Aisyah, isteri Nabi s.a.w bahawa,

Jika ada seseorang keluarganya meninggal dunia lalu kaum wanita datang berhimpun di rumah dan setelah itu mereka pulang ke rumah mereka masing-masing, kecuali keluarga dan orang-orang terdekatnya maka dia (Aisyah) memerintahkan untuk mengambil seperiuk bubur talbinah untuk dimasak diambil roti untuk dipotong kecil-kecil dan bubur itu dituangkan ke atasnya. Aisyah berkata, “Makanlah. Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “bubur talbinah dapat melegakan hati dan menghilangkan perasaan dukacita.” – HR Bukhari.

Hal yang sama juga ada disebutkan di dalam sahih Muslim, Ibn Majah, Imam Ahmad dan al-Tirmidzi.  Imam Ahmad menyebut di dalam sebuah hadis, telah diceritakan kepada kami oleh Abu Ahmad al-Zubairi telah menceritakan kepada kami oleh Aiman daripada Ummu Kaltsum daripada Aisyah, beliau berkata,

Jika Rasulullah s.a.w. diberitahu bahawa si pulan sakit dan tidak mahu makan apa pun, baginda bersabda, “Buatlah bubur talbinah dan suapkanlah  kepadanya. Demi zat yang diri ku ada dalam genggaman-Nya sesungguhnya bubur talbinah mampu membersihkan perut salah seorang di antara kamu sebagaimana salah seorang di antara kamu membasuh mukanya dengan air daripada kotoran.”

Apa yang dimaksudkan dengan talbinah atau talbin? Ia adalah sejenis bubur lembut yang diperbuat dari tepung barli dan gandum yang berserta dengan kulitnya dicampurkan dengan air atau susu dan dimasak dengan api perlahan.

Untuk menyedapkannya lagi, boleh ditambahkan madu. Nampak macam tidak ada apa-apa, kan? Ya lah, sekadar bubur barli yang dicampurkan dengan susu dihidangkan kepada seorang yang sakit tenat dan ahli keluarganya.

Apalah sangat dengan biji barli dan gandum itu yang harganya pun tidak seberapa, 100 gm hanya 60 sen. Namun, kalau hendak tahu itulah makanan yang dicadangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. ketika sedang berduka dan kesakitan. 

Ibn Qayyim menggambarkan talbina sebagai sup yang hampir sama seperti yogurt (laban) kerana warnanya putih. 

Menurutnya,  talbina adalah sup dari tepung barli dan gandum yang direbus bersama kulitnya. Ia amat berkhasiat kerana senang untuk dihadamkan dan nutrisinya dapat diserap oleh sistem tubuh dengan pantas.

Bubur barli dan gandum (talbina) mengandungi pelbagai khasiat untuk tubuh badan serta mampu merawat duka.

Sambungnya lagi, talbina memberikan istirahat pada otot jantung orang sakit. Ia juga amat tinggi nutrisinya dan mengenyangkan, menghangatkan dan melunakkan perut, membantu untuk mengurangkan kesedihan dan memulihkan kesihatan. Ia juga boleh mengekalkan keefektifan fungsi usus, menghilangkan kolesterol, penyakit jantung, kanser, diabetes, darah tinggi dan awet muda.

Ibn Qayyim juga mengajarkan bagaimana untuk menyediakan air barli yang baik iaitu satu bahagian barli direbus bersama lima bahagian air sehingga menjadi ¾ bahagian yang tinggal dan warna barli itu bertukar menjadi seperti susu. 

Air barli bukan sekadar penghilang dahaga juga membekalkan tenaga, berkhasiat untuk faringitis dan batuk.  Selain itu menyelesaikan masalah gastrik, membuang toksik dari badan, penawar paling berkesan untuk masalah buah pinggang serta melawaskan air kencing.

Apa lagi yang perlu diragukan kerana Ibnu Sina pun pernah mengesahkan betapa berkhasiatnya barli. Katanya, orang yang mengamalkan minum air barli atau sup barli dapat menghasilkan darah yang bersih, semula jadi dan rendah konsisten.

Kemudian Firdous Al-Hikmat menambah, bubur talbina boleh disediakan dengan merebus satu bahagian barli bersama lima bahagian air yang direbus sehingga menjadi 2/3 bahagian saja. Itulah penyelesaian kepada banyak masalah kesihatan dan amat bermanfaat pada seribu satu penyakit di dalam badan.

Jadi apa tunggu lagi, nak sihat, kenalah cuba.

Kredit: Nurimanah Seman