tidur penghuni neraka

Tidur seperti penghuni neraka? Tidur adalah satu nikmat kurniaan Allah S.W.T. yang paling besar kepada manusia. Firman Allah dalam surah al-Qashash ayat 73 bermaksud: Dan adalah kerana rahmatNya Dia jadikan untukmu malam dan siang, agar kamu beristirehat pada malam hari, dan agar kamu mencari sebahagian kurniaanNya (pada siang hari) dan agar kamu bersyukur padaNya.  

Tidur merupakan satu ibadah yang perlu ditunaikan, kerana ia merupakan hak bagi tubuh badan. Secara logiknya, tidur merupakan salah satu cara mengembalikan kecergasan diri, dan meningkatkan produktiviti tubuh.

Tidur yang cukup menjadikan tubuh lebih sihat dan bersemangat

Kurang tidur akan menyebabkan tubuh tidak mendapat rehat yang secukupnya, manakala terlebih tidur pula, bukan menjadikan kita lebih bersemangat, tetapi menjadikan kita semakin lemah. Bagi mereka yang banyak tidur akan menyebabkan hati menjadi mati, menambahkan berat badan, mewarisi sifat kemalasan dan kelalaian. Islam juga menghukumkan makruh bagi orang tidur terlalu lama.

Menurut ulama dan pakar perubatan, waktu tidur yang paling baik adalah sekitar jam 10 malam. Manakala waktu yang tidak digalakkan untuk tidur ialah selepas subuh hingga terbit fajar, selepas waktu asar sebelum terbenam matahari dan dari waktu maghrib hingga Isya’. Mereka berpendapat, tidur pada waktu-waktu tersebut tidak mendatangkan manfaat pada tubuh bahkan dihukumkan makruh.

Posisi tidur Nabi

Nabi s.a.w. tidur mengiring ke kanan dan meletakkan tangan kanan di bawah pipinya. Ini berdasarkan hadis yang berbunyi, “Kemudian berbaringlah di atas rusuk sebelah kananmu.” – (HR Bukhari dan Muslim)

Serta hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah yang bermaksud,

Rasulullah apabila tidur, Baginda meletakkan tangan kanannya di bawah pipinya.”

Antara kelebihan tidur mengiring ke kanan mengikut sunnah yang diamalkan Nabi s.a.w. ialah, posisi ini sama dengan kedudukan mayat di dalam kubur. Manusia mungkin mati pada bila-bila masa jadi, kemungkinan untuk mati pada waktu sedang tidur juga ada.

Yang keduanya, mengurangkan bebanan jantung. Jantung manusia berada di sebelah kiri. Oleh itu, jika tidur mengiring ke kanan, maka posisi ini akan menyebabkan beban aliran darah keluar masuk ke jantung menjadi lebih rendah. Sebaliknya jika mengiring ke kiri, jantung akan mengalami tekanan yang lebih.

Selain itu, ia boleh mempercepatkan proses penghadaman makanan dengan lebih baik bagi mengelakkan obesiti. Berbeza dengan posisi tidur yang mengiring ke kiri yang boleh melambatkan proses penghadaman makanan.

Posisi tidur terlentang juga adalah posisi tidur Baginda s.a.w.

Malah tidur mengiring ke kanan juga boleh mencegah sakit leher, sakit belakang, tekanan saraf dan kerosakan kepada tulang belakang.

Walaupun tidur dengan posisi mengiring ke kanan disarankan oleh Nabi s.a.w. namun ia bukanlah satu-satunya posisi tidur yang Baginda amalkan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim “Rasulullah tidur terlentang sambil diletakkan satu kaki di atas yang lain”. Hadis ini menjelaskan bahawa, terlentang juga adalah satu posisi tidur yang dilakukan oleh Nabi s.a.w.

Cuma, posisi awal ketika tidur biarlah dalam keadaan mengiring ke kanan. Perubahan posisi yang berlaku semasa tidur adalah dibolehkan sama ada mengiring ke kiri atau terlentang. Ini kerana, tidur ibarat kembar kepada mati. Ia melenyapkan fungsi indera manusia dan menghilangkan kesedaran. Jadi, manusia mungkin mengubah posisi tidur tanpa disedari.

Posisi tidur penghuni neraka

Posisi tidur secara meniarap bukan sunnah Nabi s.a.w. berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah yang bermaksud,

Tidur dengan posisi meniarap ialah cara tidur penghuni neraka.”

Satu lagi hadis yang menjadi sandaran kepada perkara ini ialah, hadis yang juga diriwayatkan oleh Ibn Majah “Tidur secara meniarap tidak disukai oleh Allah.”

Posisi tidur meniarap tidak disukai Allah

Manakala dari Abu Daud, “Tidak dibenarkan telungkup dengan posisi perut sebagai tumpuannya sama ada ketika tidur malam ataupun siang. Sesungguhnya posisi tidur telungkup seperti itu adalah posisi tidur yang dimurkai oleh Allah S.W.T.”

Oleh itu, penting kita mengambil berat posisi tidur sebagaimana sunnah Nabi s.a.w. supaya tidur itu menjadi medan ibadah, dan mendapat keberkatan Allah.

Artikel berkaitan: Inilah dia si penghuni syurga

______________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram