Seramai 110,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan kenderaan e-hailing sepenuh masa menerima bantuan RM500 bermula hari ini. - Abd. Razak Aid

COVID-19 menyebabkan satu dunia terseksa. Si miskin hilang mata pencarian dan si kaya hidup terkurung. Jumlah kes jangkitan dan kematian terus meningkat di sebalik sedikit sinar mengenai vaksin yang sedang diedarkan.

Tetapi bagi Riduan Aziz, 60, yang sudah 10 tahun mencari rezeki sebagai pemandu teksi, tiada masa yang lebih menyeksakan apabila terpaksa menjalani kehidupan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana orang ramai tidak lagi bebas ke luar rumah.

PEMANDU teksi Ab. Manaf Nazir, 65, sedang menunggu penumpang di Hentian Teksi Kompleks PKNS, Shah Alam, semalam.- GAMBAR – Abd. Razak Aid.

Menurutnya, ekoran pelaksanaan PKP sejak wabak Covid-19 melanda negara dengan agresif, penumpang semakin lama semakin berkurangan, malah kadang kala ada hari yang tiada langsung penumpang.

Jika ada pun, Riduan terpaksa menunggu tiga hingga empat jam hanya untuk mendapatkan seorang dua penumpang dan memperolehi pendapatan sekitar RM20-RM30 sehari.

“Jika keadaan ini berterusan, apa keluarga kami nak makan?” katanya yang bagaimanapun amat berterima kasih kerana kerajaan sentiasa memberikan pelbagai bantuan kepada mereka yang terkesan akibat COVID-19 itu dan yang terbaru bantuan sebanyak RM500 untuk pemandu teksi serta e-hailing.

Kisah yang sama dikongsi oleh pemandu teksi Ab. Manaf Nazir, 65, yang ditemui di Hentian Teksi Kompleks PKNS, Shah Alam yang menceritakan bagaimana berkurangnya orang ramai berkunjung ke pusat beli-belah menyebabkan pendapatan mereka terjejas teruk.

Oleh itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) setiap masa untuk mengekang penularan wabak virus ini.

Apabila wabak penyakit ini menurun dan dapat dikawal, pemandu teksi seperti beliau dan sesiapa jua yang bergantung kepada orang ramai untuk mencari rezeki seperti dahulu, walaupun dalam norma baharu. – UTUSANTV

PEMANDU teksi Riduan Aziz, 60,(kiri) bersama rakannya, Ab. Manaf Nazir, 65, mengharapkan penularan covid-19 ini dapat dikawal ketika ditemui di Hentian Teksi Kompleks PKNS, Shah Alam.
Pemandu Teksi, Sahar Mustafa,58, mengambil kesempatan mendengar perutusan Perdaana Menteri melalui telefon pintar sambil menunggu penumpang di Hentian Teksi Kompleks PKNS, Shah Alam.
Riduan Aziz, 60, (kanan) bersama rakannya, Ab. Manaf Nazir, 65, (tengah) dan Sarifuddin Yahya, 73, (kiri) sentiasa sabar menanti kehadiran penumpang di Hentian Teksi Kompleks PKNS, Shah Alam, semalam. GAMBAR: Abd. Razak Aid.