‘’Maaf saya kata ini, pada tahun 2020, UMNO mungkin tidak berkuasa lagi kerana ditolak oleh orang Melayu sendiri… kerana bosan dengan politik wang yang diamalkan oleh UMNO.

‘’Dalam kalangan UMNO, ahli-ahli UMNO, pemimpin-pemimpin UMNO akan berebut kuasa, sehingga tak ada lagi perjuangan untuk parti, untuk bangsa tetapi perjuangan hanyalah untuk mendapat tempat bagi diri sendiri.

”Dengan itu pengundi akan berasa bosan dengan UMNO dan mereka akan tolak UMNO, saya fikir 2020 is maximum, UMNO boleh pi.

‘’Saya fikir belum sampai (tahun) tu pun kita akan lihat UMNO kualitinya merosot dan sokongan kepadanya juga merosot. Apabila UMNO lemah maka campuran Barisan Nasional ini jugak akan jadi lemah. Sebabnya Barisan Nasional kuat sekarang ini ialah kerana UMNO menjadi terasnya yang kuat.

‘’Tetapi apabila UMNO sudah lemah ditolak oleh orang Melayu maka Barisan Nasional juga akan runtuh, malangnya yang akan mengganti bukanlah parti lawan yang kita tengok sekarang ini, kerana parti Melayu yang lain jugak tidak akan mendapat sokongan orang Melayu sendiri.’’

Ketika pergolakan politik dalaman UMNO semakin meruncing, penulis menerima satu klip video ucapan Tun Dr.Mahathir Mohamad. Ucapan itu dipercayai disampaikan oleh Dr.Mahathir ketika beliau masih lagi Perdana Menteri dan menerajui UMNO serta Barisan Nasional (BN).

Petikan di atas ialah ucapan beliau yang dikatakan disampaikan 20 tahun lalu. Mungkin pemimpin dan ahli UMNO tidak bersetuju dengan apa yang Dr.Mahathir katakan, mungkin mereka akan berhujah bahawa Dr.Mahathir juga menjadi punca UMNO lemah apabila menubuhkan Parti Bersatu.

Namun jika mereka sayangkan UMNO dan mahu membuktikan UMNO tidak akan ‘berkubur tanpa nesan’, mereka perlu memikirkan kata-kata Dr.Mahathir . Bermuhasabahlah, bandingkan apa yang dikatakan oleh bekas Perdana Menteri itu berlaku atau tidak ketika ini?

Bukankah politik wang sering dikaitkan dengan UMNO, sehingga parti itu dilihat lubuk untuk menjadi kaya bukannya membela nasib rakyat? Bukankah sebelum 2020 lagi UMNO sudah hilang kuasa apabila tumbang dalam PRU-14 pada tahun 2018?

Bukankah kekalahan tersebut dikaitkan dengan kesilapan pemimpin UMNO sendiri? Bukankah kita ni BN sudah pun semakin lemah, apabila banyak parti sudah meninggalkan gabungan itu?

Memang benar ketika ini UMNO masih ada kekuatan dan menjadi parti terkuat dalam kerajaan, tetapi perlu diingat ia bukan bermaksud UMNO menang pilihan raya, tetapi UMNO ‘membantu’ Parti Bersatu dan bekerjasama dengan parti lain membentuk kerajaan.

Kilp video ucapan Dr. Mahathir Mohamad 20 tahun lalu.

Fakta yang tidak boleh diubah sokongan rakyat terhadap UMNO semakin merosot seperti mana kata Dr.Mahathir. Bukan salah UMNO, UMNO seperti mana kata Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamad Hasan adalah perjuangan. Pemimpin dan ahli UMNO bertanggungjawab untuk memastikan perjuangan parti itu terus hidup.

Justeru pemimpin dan ahli UMNO perlu ada keberanian untuk bangkit menyelamatkan parti. Kalau benarlah kepemimpinan parti ada masalah dan boleh membuka jalan bagi rakyat menolak UMNO, maka lakukan perubahan.

Penulis yakin pemimpin-pemimpin terlibat akan faham kerana ada antara mereka sudah berkata, ‘’jangan tolong saya, tolonglah UMNO’’ – jadi inilah masanya untuk mereka menolong UMNO, memperkukuhkan kembali parti induk orang Melayu itu.UMNO tidak boleh berantakan atau terus lemah akibat dikuasai satu dua kelompok dalam parti itu yang memperalatkan nama ‘akar umbi’.

Jangan terbuai dengan kenyataan kononnya UMNO masih kuat, UMNO ada 39 kerusi Parlimen, UMNO jadi penentu hidup mati kerajaan, UMNO boleh menjadi ‘king maker’ – semua itu hanya untuk ‘syok sendiri’ sahaja.

Yang akan mengundi UMNO nanti bukan ahli UMNO sahaja tetapi orang Melayu secara keseluruhannya. Mereka inilah penentu hidup mati UMNO bukan semata-mata ahli UMNO.

Cuba fikirkan kenapa Dr.Mahathir berkata pada masa itu, ‘’UMNO sudah lemah ditolak oleh orang Melayu maka Barisan Nasional juga runtuh.’’ – Bukankah itu sudah berlaku sekarang?, Kalau orang Melayu sudah mula menolak maka bersedialah untuk menempah ‘kuburan politik’ untuk parti keramat orang Melayu itu.

Ia bukan tidak boleh diubah, dalaman UMNO harus diperkukuhkan, pemimpin yang bermasalah tidak harus dirangkul kerana ia boleh menjejaskan imej UMNO, jangan biarkan lagi ‘warlord-warlord’ menentukan hala tuju UMNO, sebaliknya cari pemimpin berwibawa, bersih dan disukai rakyat untuk mengemudi parti itu tidak dikira peringkat apapun.

Dari segi luaran pula, UMNO wajib menjadi pencetus kepada penyatuan ummah. Orang Melayu sudah teruk berpecah, orang Melayu terus berbalah, akhirnya siapa akan untung?

Apa salahnya cari jalan untuk menyatukan semua parti Melayu, jangan terikut-ikut rentak beberapa orang pemimpin parti itu yang bagaikan ‘berkerat rotan berpatah arang’ dengan parti Melayu lain hanya kerana politik.

Ketika ini kelompok itu dilihat berpengaruh, sehingga ada yang bertanya benarkah keputusan menolak kerjasama dengan Bersatu kehendak akar umbi atau kemahuan kepemimpinan bahagian?

Sesungguhnya sebahagian yang dikatakan oleh Dr.Mahathir 20 tahun lalu tentang UMNO sudah menjadi kenyataan. Dr.Mahathir yang kini berusia 95 tahun bukan ‘Nujum Pak Belalang’ tetapi kalau UMNO tidak juga berubah masih berebut kuasa sesama sendiri, masih membiarkan ‘warlord’ terus berkuasa, masih menyanjung pemimpin dilihat bermasalah, rasanya pelajar sekolah pun boleh meramalkan apa akan berlaku kepada parti itu dalam PRU-15.