Gambar kiri: LZS menghulurkan sumbangan kepada suami wanita berkenaan di kediaman mereka di Lembah Subang.

PETALING JAYA – Wanita yang tular selepas kisahnya terdesak mencuri untuk anaknya yang lapar dan demam semalam menjelaskan dia sangat terdesak kerana kehilangan sumber pendapatan.

Menurut surirumah itu, ini setelah dia tidak lagi dapat mengambil upah menjaga anak-anak jirannya berikutan penularan wab COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengakui dirinya mendapat pengajaran berharga apabila ditangkap mencuri, ibu kepada dua anak itu menegaskan dia kini insaf dan menyesal.

Malah kata penerima zakat Selangor itu, andai masa dapat diundurkan, pasti dia tidak akan melakukan perbuatan tersebut.

“Namun ketika itu saya tidak berfikiran secara waras kerana memikirkan anak kelaparan dan demam,” katanya seperti dipetik dari Harian Metro Online.

Menurut wanita itu, dia bersama tiga anak berusia 11, enam dan tiga tahun bersama suami sudah empat tahun tinggal di Lembah Subang.

“Sebelum ini saya mengambil upah menjaga anak jiran dan menjual aiskrim di rumah sementara suami bekerja membantu rakan membaiki lif dan rumah namun pendapatan tidak tetap.

“Malah sejak PKP dia tidak dapat mengambil upah mengasuh menyebabkan hilang punca pendapatan,” katanya.

Wanita itu berkata, sejak berita itu tular dia menerima bantuan tidak putus daripada pelbagai pihak termasuk pihak polis sendiri.

“Saya doakan tuan Ketua Polis Daerah sentiasa diberi tubuh badan yang sihat, kesihatan baik, diberkati dan dilindungi Allah atas jasa beliau kepada saya.

“Kejadian ini memang menjadi pengajaran buat saya dan kepada semua yang sudi menghulurkan bantuan ini saya ucapkan ribuan terima kasih,” katanya.

Wanita berusia 36 tahun itu turut menginsafi tindakannya itu selain menempuh pengalaman tidak pernah dialami dirinya apabila disoal siasat polis selain tangan bergari ketika ditahan.

Bagaimanapun, dia bersyukur atas budi bicara dan belas kasihan polis terutama Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal dirinya dibebaskan dan kesnya tidak diteruskan.

Nik Ezanee yang ke rumah wanita itu bagi menghulur bantuan semalam.

Menceritakan kejadian itu, katanya, ketika kejadian dia ke pasar raya di Ara Damansara itu untuk membeli barang termasuk pelekat penyejuk demam.

“Namun ketika itu saya hanya berbekal wang RM30 yang diberi oleh suami dan hanya dapat membeli ayam, roti dan air namun tidak cukup membeli pelekat penyejuk demam berserta sosej.

“Ketika itu hati saya berbelah bahagi sama ada hendak membeli pelekat penyejuk demam itu atau membeli ayam sedangkan anak saya juga kelaparan dan akhirnya saya bertindak mencuri pelekat penyejuk demam namun disedari pekerja itu,” katanya.

Menurutnya, perasaannya ketika itu hanya memikirkan nasib yang bakal menimpa dan akan dipenjarakan kerana mencuri selepas ditahan polis serta dibawa ke Balai Polis Kelana Jaya.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Polis PJ hulur bantuan pada wanita ‘curi’ makanan, ubat untuk anak sakit

Sementara itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu hantaran memaklumkan, daripada penjelasan suami wanita itu memaklumkan pendapatannya yang bergaji hari terjejas semasa PKP.

“Ada masa, apabila ada kerja barulah bergaji,” jelas lelaki itu menurut LZS.

Tambah agensi itu, lelaki itu memaklumkan yang pada hari kejadian, anak-anaknya teringin untuk makan ayam lalu dengan wang yang ada, digunakan memenuhi kehendak anak dikasihi.

“Tindakan spontan isterinya menyebabkan dia tidak cukup wang untuk membayar harga kek dan plaster kebah demam yang dibeli.

“Kasih ibu terhadap anak-anak membuatkan dia tidak berfikir panjang dan mengambil tindakan luar batasan undang-undang. Mereka benar-benar menyesal atas tindakan dan perbuatan mereka,” kata LZS.

Tambah agensi itu, kelangsungan hidup keluarga ini banyak bergantung dengan bantuan zakat.

“Sejak tahun 2018 keluarga ini telah didaftarkan sebagai asnaf LZS.

“Alhamdulillah, mereka disantuni dengan bantuan kewangan bulanan, bantuan pendidikan untuk anak-anak dan bantuan Hari Raya.

Sementara itu, lapor Harian Metro lagi, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Selangor Dr Zaitol Salleh berkata, pihaknya sudah mengambil maklum kejadian menimpa keluarga terbabit dan bantuan awal sudah iaitu bakul makanan JKM yang diserahkan kepada mereka oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya mewakili Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling.

“Melalui semakan juga kita mendapati dia belum pernah memohon bantuan daripada JKM dan borang permohonan juga sudah diserahkan kepadanya untuk proses permohonan.

“Kita akan menjalankan siasatan dan tindakan selanjutnya selepas permohonan diterima,” katanya.

Terdahulu, wakil Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Putrajaya turut datang menziarahi dan menghulurkan sumbangan kepada mereka sekeluarga.