KUALA LUMPUR – Isu pergolakan rumah tangga penyampai radio Hot FM, Shuk Sahar sekali lagi menjadi perbualan hangat apabila isterinya membuat pendedahan tentang kecurangannya di Instagram.

Menerusi beberapa hantaran di akaun media sosialnya itu, isteri Shuk iaitu Rossalennah Natassiah Asshaferah mendakwa Shuk masih lagi menjalinkan hubungan dengan wanita pernah dikaitkan sebelum ini yang dikenali sebagai Fara Salleh.

“Selama ini aku diam, bersabar dan bertahan. Diam demi menjaga aib suami tapi semakin lama diam mereka semakin menyakiti aku sampai saat ini. Yang satu sibuk mengejar bujang, yang bujang ini tak sedar diri asyik nak buktikan pada semua orang yang dia tak bersalah dan tak menganggu rumah tangga orang.

“Sama sahaja. Dua-dua tak sedar diri buat aku dan anak-anak aku macam ini. Aku dikatakan mata duitan, bertahan sebab nak hidup mewah, kenapa sampai macam itu anggapan kau. Kau perempuan, aku pun perempuan. Aku bertahan demi anak-anak aku,” tulisnya.

KISAH kecurangan Shuk yang didedahkan oleh isterinya di Instagram

Malah, Rossalennah turut bertindak menerjah ke kediaman Fara kerana menyedari suaminya itu tidak pulang ke rumah kerana berada di rumah wanita terbabit namun kecewa apabila dia dihalau.

“Dan kau @shuk_hotfm terima kasih dah tinggalkan aku dengan anak-anak. Aku dah bertahan sampai saat ini menutup segala cela yang buruk demi masa depan anak-anak.

“Aku suruh keluar, kau tak keluar. Kau tak balik, duduk rumah ‘betina’ ini. Aku dihalau macam orang tak ada maruah dan harga diri. Suami aku ada dalam rumah ini, aku dah suruh buka pintu untuk periksa rumah tapi aku dihalau.

“Malam ini perjalanan aku jauh sangat, orang tidur tapi aku berkeliaran cari laki aku di mana. Jangan cakap aku buka aib lagi sebab bila aku simpan makin mereka selesa sangat tengok aku macam orang bodoh,” katanya yang turut memuat naik video rakaman ketika berada di rumah wanita berkenaan.

Tambah Rossalennah lagi, sebelum ini dia telah merayu kepada Shuk untuk kembali kepada keluarga dan menerimanya serta anak-anak.

Katanya lagi, dia juga sudah memohon ampun dan mencium kaki Shuk sebagai tanda memohon keampunan agar lelaki itu dilembutkan hati kembali menyayangi dia dan anak-anak.

“Allah itu maha adil, naluri isteri tak pernah salah. Seraa ada saksi pergi sini dengan pembantu peribadi Shuk, dia telefon Fara suruh Shuk keluar tapi dia tak mahu keluar.

“Bila Allah mengkehendaki akan sesuatu tiada siapa dapat halang, aku dah merayu dan menangis depan pintu minta belas kasihan dengan kau tapi kau usir aku.

“Kau campak kasut Shuk depan aku suruh bawa balik. Dan kau Shuk setiap hari balik rumah menipu dengan aku. Aku dah melutut dan merayu dengan kau tolong balik pada kami, sayang kami tapi apa yang kau buat malam ini, kau hancurkan hati aku.

“Kau tipu aku, aku dah puas sangat menangis. Kaki kau pun aku dah cium minta ampun supaya kau balik dengan aku dan anak-anak tapi esoknya kau buat lagi, dah tak ada rasa bersalah pun dalam diri kau,” katanya.

Sekitar Julai tahun lalu, Shuk pernah dikaitkan dengan wanita bernama Fara kerana berlaku curang dan hubungan ‘rahsia’ mereka itu turut diketahui oleh Rossalennah.

Pun begitu, kemelut rumah tangga mereka dikatakan sudah jernih apabila Shuk membuat permohonan kepada isterinya dan kembali menjalani hubungan sebagai suami dan isteri dengan aman.

Shuk berkahwin dengan Rossalennah pada 2015 dan memiliki dua anak perempuan iaitu Nur Qurratu Ain,4, dan Nur Assyifatu Aimi yang berusia setahun.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi