Pemilik Mydin bidas urus niaga secara e-dagang

0
187
Datuk Ameer Ali Mydin./ Gambar media sosial

KUALA LUMPUR – Seorang usahawan peruncitan terkemuka membidas konsep perniagaan e-dagang kerana impaknya kepada rantaian bekalan ekonomi tidak sama berbanding urus niaga secara bersemuka.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, urusan jual beli bersemuka antara peniaga dan pelanggan di premis atau “brick-and-mortar” membolehkan keseluruhan rantaian bergerak dan ini penting untuk ekonomi.

Pemilik rangkaian pasar raya besar Mydin itu berkata, ini kerana pengguna bukan sahaja akan membeli apa diinginkan, tetapi akan keluar makan, menaiki teksi dan bersiar-siar.

Selain itu, Ameer juga berpandangan e-dagang hanya bahagian kecil daripada aktiviti ekonomi bahkan tidak memberi banyak faedah kepada pemain tempatan sebaliknya menguntungkan syarikat penyedia platform dari luar negara.

“Apa yang berlaku dengan e-dagang tidak sama dengan perniagaan brick and mortar (urus niaga bersemuka).

“Apabila anda pergi membeli-belah, anda boleh jalan-jalan, minum-minum dan menaiki teksi. Keseluruhan rantaian bekalan itu bergerak,” kata Ameer yang juga Naib Presiden Persatuan Runcit Malaysia, kepada radio perniagaan BFM hari ini.

Temu bual itu boleh diikuti di laman web BFM.

Malah tegas beliau, e-dagang di Malaysia ketika ini hanya menguntungkan “dua syarikat pembekal multinasional asing”.

“Saya tidak mahu menyebut siapa mereka, tetapi mereka satu-satunya pihak yang membuat keuntungan daripada semua orang. Mereka mengenakan caj 30 peratus untuk penghantaran minuman dan makanan. Betul-betul buat duit!

“Apa kita buat? Sokong dan terus sokong. Kita menyokong orang yang salah. Peniaga tempatan semakin nazak,” tambahnya.

Ameer dalam temu bual itu juga menggambarkan terlalu banyak digembar-gemburkan mengenai e-dagang yang didakwa menurunkan kos kepada pelanggan akhir.

“Pengguna mungkin tidak sedar, tetapi mereka yang bayar semuanya. Mereka beranggapan jika dapat diskaun itu dan diskaun ini, ia lebih murah tetapi sebenarnya tidak,” katanya dan menambah promosi dalam talian mengelirukan.

“Perniagaan tradisi bersemuka atau brick and mortar tetap murah. Dalam jangka panjang, ia lebih baik untuk ekonomi.”

Sementara itu, Ameer yang menerajui Pertubuhan Peruncit Bumiputera Malaysia (BRO), dengan tegas menolak tanggapan bahawa peniaga bumiputera mampu bertahan dalam situasi perniagaan sekarang.

“Hampir mati merupakan perkataan yang salah. Saya rasa mereka semua sudah mati,” katanya.

Dalam pada itu, Ameer turut meminta penjelasan lanjut daripada kerajaan mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan peniagaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, cara lebih baik adalah dengan kerajaan menyenaraikan perniagaan yang dilarang beroperasi, dan bukan sebaliknya.

“Kerajaan harus keluarkan senarai negatif.

“Tak mungkin kerajaan boleh keluarkan dan mengatakan apa yang boleh dibuka. Terlalu banyak jenis perniagaan yang ada.

“Beritahu sahaja apa yang tidak boleh (buka). Itu lebih mudah. Dan benarkan yang lain buka, tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” kata Ameer.