KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,583 kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini dengan Selangor terus mencatatkan kes tertinggi.

Selangor yang sudah 14 hari berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mecatatkan 1,295 kes baru.

Menurut laman sosial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ini diikuti Kuala Lumpur dengan 610 kes, Johor (516 kes) dan Sabah, 303 kes.

Sarawak yang merupakan satu-satunya negeri tidak dilaksanakan PKP mencatatkan 205 kes bar yang juga kelima tertinggi.

Sementara itu, buat hari keempat berturut-turut kes sembuh mengatasi penularan baru apabila 4,076 kes sembuh dilaporkan hari ini.

Mengenai jumlah kematian yang dicatatkan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 11 kes direkodkan iaitu empat di Kuala Lumpur, tiga di Sarawak dan masing-masing satu kes di Perak, Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

FB KKM

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, terdapat 280 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 111 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya Kementerian Kesihatan mengenal pasti tujuh kluster baharu melibatkan tiga kluster berkaitan tempat kerja, dua kluster komuniti, satu kluster keagamaan dan satu kluster pusat tahanan.

Menurut beliau, kluster baharu membabitkan tempat kerja dikenal pasti di Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan, kluster komuniti dikesan di Johor dan Terengganu, manakala kluster keagamaan di Kedah dan kluster pusat tahanan di Terengganu.