KUALA LUMPUR- Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan, ramai generasi muda Melayu paling lemah mendaftar sebagai pengundi kerana berjaya ‘dirasuk syaitan-syaitan’ warisan penjajah dahulu.

Presiden Pas itu berkata, pengaruh ‘bisikan syaitan’ masih menghantui umat Islam khususnya generasi muda yang sepatutnya mewarisi perjuangan untuk menegakkan Islam.

”Kita menyaksikan kebencian terhadap politik berlaku kerana terpengaruh dengan syaitan berwajahkan manusia, termasuk umat Islam sendiri yang digerakkan oleh dalang-dalang mereka.

”Pemikiran Islam dalam diri mereka tidak bermaya, khususnya dalam kalangan bangsa yang beragama Islam,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hadi berkata, pada masa sama bangsa lain yang bukan Islam pula saling berlumba dengan mengambil peluang untuk merampas kuasa politik.

Dalam kenyataan itu juga, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mengimbas kembali bagaimana umat Islam mengalami musibah dengan kehilangan kuasa politik sepenuhnya pada awal abad yang lalu, setelah kejatuhan Khilafah ‘Uthmaniyah kerana kelemahan dalaman umat Islam sendiri. Satu demi satu wilayah Islam dijajah dan merebaknya kejahilan agama.

‘’Namun begitu, umat Islam tidak pernah menyerah kalah sehingga keseluruhannya mencapai kemerdekaan walaupun hanya pada namanya sahaja. Walau bagaimanapun, kesan serangan pemikiran masih bertapak dalam diri mereka, apabila wujud pemikiran paling beracun yang berusaha untuk menghapuskan kefahaman politik yang wajib ditegakkan,’’ katanya.

Beliau berkata, Snouck Hurgronje, seorang tokoh orientalis yang berasal dari Belanda menegaskan bahawa tugas paling penting bagi menghadapi kebangkitan semula Islam ialah menghalang para ulama yang terus membawa ajaran menegakkan kembali Khilafah (politik).

‘’Langkah ini ternyata apabila para ulama yang paling awal menentang campur tangan penjajah dan mengajar ajaran politik Islam, disingkirkan secara keras dan halus. Malahan ada dalam kalangan mereka yang dibunuh, dipenjara dan dibuang keluar dari tanah airnya. Bahkan ada yang dihapuskan daripada catatan sejarah,’’ katanya.

Abdul Hadi menegaskan, mereka menyebarkan langkah ‘tasykik’ (meragukan dan menyebarkan rasa waswas) teradap ajaran Islam, khususnya kefahaman politik dengan menyamakan politik Islam dengan yang lain.

‘’Mereka meletakkan Islam dalam satu bakul bersama jenama lain dan beranggapan bahawa politik itu semuanya kotor, menipu dan berpolitikus (seperti tikus) yang merosakkan. Tindakan itu penting bagi menyenangkan mereka untuk berpolitik tanpa tentangan daripada umat Islam,’’ katanya.