Majlis Perundingan Melayu anjur Gerakan Jihad Rakyat tangani gejala rasuah

0
76


KUALA LUMPUR – Dalam usaha mengajak rakyat untuk bersama-sama menangani gejala rasuah, Majlis Perundingan Melayu (MPM) bersama dengan beberapa institusi dan badan bukan kerajaan (NGO) sekutunya akan menganjurkan Gerakan Jihad Rakyat.

Dalam kenyataannya, Pengerusi Jawatankuasa Pemandu MPM, Tun Mohd Hanif Omar berkata, gerakan itu ialah Gerakan Nasional bagi menyediakan platform untuk rakyat bertindak secara kolektif, menolak pemimpin dan pentadbir gila kuasa, membanteras jenayah rasuah, membunuh budaya salah guna kuasa dan melumpuhkan sama-sekali gerakan ekonomi hitam.

“Ringkasnya, gerakan ini ialah untuk memutihkan negara berdaulat dan bermaruah ini daripada segala bentuk gejala, wabak dan ancaman yang sekian lama mencemarkan imej dan kedaulatannya.

“Misi gerakan ini kami pecahkan kepada dua iaitu tolak pemimpin gila kuasa; banteras jenayah rasuah dan salah guna kuasa serta lumpuhkan kegiatan ekonomi hitam,’’ katanya.

Beliau berkata, antara misi komplementari pula ialah menangani pelbagai ancaman keselamatan; segarkan kembali ekonomi nasional yang semakin lesu; pulihkan kembali sistem penyampaian awam dan korporat serta perkasakan sistem pendidikan nasional dan sebagainya.

Mohd.Hanif berkata, sepanjang tempoh 10 tahun belakangan ini (2010-2020) merupakan tempoh pelaksanaan Wawasan 2020 dengan Model Baharu Ekonomi (MBE 2010-2020), namun ekonomi tidak berkembang sepertimana yang diunjurkan.

Sebaliknya, kata beliau jurang ekonomi Bumiputera dan bukan-Bumiputera kembali melebar, lebih malang, institusi politik yang diterajui Bumiputera jatuh tersungkur, atas dua tohmahan utama, rasuah dan salahguna kuasa.

Dalam pada itu, Mohd Hanif berkata gerakan itu mendesak kerajaan merombak draf Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang sudah sedia untuk dibentangkan kerana ia tidak bersesuaian dengan keperluan pembangunan dan agenda kemakmuran semasa.

“Kami difahamkan bahawa RMK12 itu hanyalah salin kulit RMK11 kerana masih berteraskan agenda kemajuan ekonomi, bukan agenda kemakmuran dalam hakikat yang sebenarnya.

“Ini berlaku kerana kefahaman mereka yang menggubal RMK12 itu yang hanya terdiri daripada pakar-pakar ekonomi, tanpa pembabitan mereka daripada bidang kemakmuran yang lain.

“Jika mereka faham apa itu kemakmuran, pastinya mereka akan memastikan kepakaran dari semua tonggak kemakmuran dilibatkan dalam penggubalan RMK12 tetapi tidak,” katanya.

Beliau berkata, gerakan itu merancang untuk menghimpunkan beberapa tokoh ternama yang giat memperjuangkan usaha membanteras jenayah rasuah di samping mempromosikan budaya sihat dan mulia.

Mohd.Hanif turut memaklumkan MPM telah menyerahkan memorandum Pengisytiharan Darurat kepada Yang di-Pertuan Agong pada 12 Januari lalu.

Katanya, MPM akur akan titah dan keprihatinan Seri Paduka akan perlunya ketika ini satu proklamasi darurat diisytiharkan.

”Memorandum itu bukan mendesak Seri Paduka untuk membatalkan Proklamasi Darurat itu dan mengumumkan proklamasi yang baharu, sebaliknya hanya untuk menganjurkan gerakan untuk mengajak rakyat menangani gejala rasuah,” katanya.