ACHEY dan maskot SugarBomb mengedarkan cecair pembasmi kuman

KUALA LUMPUR – Melihatkan kepada statistik kes Covid-19 yang semakin membimbangkan di negara ini, sudah pastinya cecair pembasmi kuman kini menjadi keperluan asas sebagai alat perlindungan diri dalam usaha mencegah penularan wabak berkenaan.

Antara tempat yang dibimbangi boleh menyebabkan jangkitan terhadap virus terbabit boleh merebak ialah di kawasan sekolah.

Justeru itu, atas dasar keprihatinan terhadap guru dan pelajar sekolah, syarikat pengeluar produk minyak wangi dan cecair pembasmi kuman, SugarBomb Worldwide Sdn Bhd dan pelawak popular, Achey telah berbesar hati menyumbangkan cecair berkenaan kepada sekolah menengah dan tadika sekitar Lembah Klang, selain Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang.

Menerusi program SugarBomb Care For You, sebanyak 10,000 cecair pembasmi kuman diserahkan untuk kegunaan guru dan pelajar tingkatan lima yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, tidak lama lagi.

ACHEY dan Mr Bomb mengagihkan cecair pembasmi kuman di sekolah dan tadika terpilh di sekitar Lembah Klang

Sementara itu, pelawak popular, Achey berkata, dia teruja turun padang ke PPD Klang dan beberapa sekolah untuk mengetahui perkembangan pada saat pandemik Covid-19 meningkat hingga angka jangkitan 4,000 setiap hari.

“Siapa tak gerun keluar rumah pada saat pandemik dalam tahap membimbangkan. Tiada simptom pun boleh positif Covid-19.

“Bagaimanapun, saya melihat guru tidak pernah patah semangat apabila berkunjung ke PPD Klang, baru-baru ini. Dalam keadaan risau, saya diberitahu mereka tetap menjalankan tugas dengan baik.

“Saya juga sempat berkunjung ke beberapa sekolah taska termasuk Sekolah Menengah Tinggi Klang. Saya lihat pihak sekolah menekankan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Saya tidak dibenarkan bertembung dengan pelajar ketika menyerahkan sumbangan.

“Apabila sampai ke sekolah, guru sendiri menunggu pasukan SugarBomb untuk memeriksa suhu badan dan sanitasi. Tanpa mengira sesiapa yang hadir, kena ikut SOP ketat. Paling utama, kena ada surat kebenaran menghantar cecair pembasmi kuman kerana tidak boleh memasuki sekolah sesuka hati,” katanya kepada URTV.

Achey yang juga duta SugarBomb berkata, dia perlu memakai pelitup wajah dan sarung tangan ketika memasuki kawasan sekolah demi keselamatan pelajar.

“Sebelum ini, kakak saya yang juga seorang guru pernah memberitahu SOP yang ditekankan di sekolah. Dalam hati, saya macam tak percaya. Tetapi, saya baru tahu betapa ketatnya kawalan keselamatan apabila saya sendiri turun padang ke sekolah.

“Guru tidak akan membiarkan tetamu, mereka sentiasa memantau dan mengikut hingga sanggup menghantar kami ke kereta ketika pulang. Ini bagi mengelakkan orang luar bertembung dengan pelajar sekolah.

“Besar betul pengorbanan guru dalam menjaga keselamatan pelajar, berpeluh-peluh mereka turun naik menyambut tetamu, selain membantu mengangkat barang,” ujarnya.

PENTINGNYA cecair pembasmi kuman dalam kehidupan hari ini bagi memerangi Covid-19

Anggota kumpulan Bocey itu berkata, dia tidak kisah turun padang menghantar bantuan kepada sekolah pada saat pandemik menunjukkan angka yang tinggi.

“Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini lebih mencabar apabila dilakukan pada saat pandemik dengan penekanan norma baharu. Walaupun artis, tetap kena ikut SOP ketat.

“Saya turun padang bukan hanya kerana sebahagian kerja duta SugarBomb, tetapi inilah peluang saya mendekati dan mendengar luahan hati guru-guru.

“Sebagai suri teladan saya perlu ada rasa tanggungjawab bagi membantu mencegah penularan Covid-19. Orang melihat petugas barisan hadapan berisiko tinggi, tetapi golongan guru juga sama.

“Tanggungjawab seorang guru lebih besar apabila bertugas di taska kerana ia membabitkan golongan kanak-kanak yang tidak tahu bahaya Covid-19. Saya sendiri melihat bagaimana SOP ketat ditekankan dalam taska,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan SugarBomb Worldwide, Ahmad Azhari Rosli berkata, program SugarBomb Care For You adalah sebahagian usaha mendekati golongan sasaran menerusi CSR.

“Kami melihat ramai guru dan pelajar yang terpaksa ke sekolah ketika jangkitan Covid-19 menunjukkan angka yang tinggi.

“Tentunya, mereka menjadi golongan berisiko tinggi apabila keluar rumah. Atas dasar keprihatinan Achey dan Mr Bomb turun padang menyerahkan 10,000 botol cecair pembasmi kuman kepada 10 sekolah sekitar Lembah Klang.

“Kami memilih sekolah yang mempunyai ramai pelajar sekitar Klang. Ini sebahagian usaha membantu sekolah dalam meringankan bebanan mereka. Apa yang diketahui, sekolah wajib menyediakan cecair pembasmi kuman bagi kegunaan guru dan pelajar,” katanya.

Antara sekolah yang menerima sumbangan termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Sekolah Menengah Perempuan Kapar, Sekolah Menengah Tinggi Klang, Taska Sirajuddin, Taska Al Munawarrah, Taska Mawaddah dan Taska Al Syabab.

Ahmad Azhari berkata, SugarBomb Worldwide tidak kisah berkongsi rezeki pada saat kebanyakan syarikat mengambil langkah berjimat cermat.

“Kami berterima kasih kepada pengguna yang terus memberi sokongan kepada jenama SugarBomb. Jadi, kami berkongsi semula sumbangan dalam bentuk program CSR untuk membalas budi.

“Insya-Allah, kami merancang mengedarkan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan sekolah pada setiap bulan. Bagi sekolah yang memerlukan cecair pembasmi kuman bolehlah menghubungi SugarBomb Worldwide. Bagaimanapun, ia mengikut kuota yang disediakan syarikat,” katanya.

SugarBomb Worldwide menghasilkan dan menjual lebih satu juta botol cecair pembasmi kuman sejak pandemik Covid-19 menyerang kira-kira sembilan bulan lalu.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi