Sanggup ‘gadai’ hati demi misi, penonton iQIYI terjerat psikologi gelap Griya: Rahsia Seorang Lelaki

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

APA jadinya apabila sebuah misi pembongkaran kes pembunuhan bertukar menjadi jerat cinta yang memakan diri? Dinamik hubungan penuh manipulasi inilah yang menjadi tunjang utama kepada naskhah terbaharu di platform penstriman iQIYI Malaysia, Griya: Rahsia Seorang Lelaki.

Drama siri terbitan Skop Productions yang menggabungkan genre thriller psikologi dan konflik hubungan ini sudah pun menemui penonton sejak 9 Mei yang lalu.

Ia memaparkan sisi gelap sebuah perkahwinan, sekali gus mencabar emosi penonton menerusi plot yang sukar dijangka.

Griya: Rahsia Seorang Lelaki menyoroti kisah seorang peguam berjiwa kental bernama Sophia (lakonan Chacha Maembong) yang bekerjasama dengan Detektif Liana (Scha Alyahya).

Mereka menggalas misi besar untuk menyiasat Razman (Nazim Othman), seorang duda kaya yang disyaki menjadi dalang di sebalik kematian misteri dua bekas isterinya.

Bagi mencari bukti sahih, Sophia sanggup memulakan satu muslihat dengan menjalinkan hubungan cinta palsu demi mendekati lelaki tersebut.

Bagaimanapun, tembok pertahanan Sophia mula rapuh apabila Razman yang disangka kejam, bijak mencuri hatinya secara perlahan-lahan dengan penuh pesona.

Sophia kini terperangkap dalam dilema terbesar sama ada mahu menegakkan keadilan atau melindungi lelaki yang mungkin menanti masa untuk memusnahkannya.

Melihat kepada impak naskhah ini, Pengarah Urusan iQIYI Malaysia, Singapura dan Indonesia, Dinesh Ratnam menjelaskan pemilihan jalan cerita ini dibuat berdasarkan pemerhatian mendalam terhadap trend semasa dan cita rasa penonton tempatan yang kini lebih matang.

“Pihak kami sentiasa memantau trend tontonan, perbualan di media sosial, dan perubahan cita rasa penonton.

“Atas dasar itu, drama Griya: Rahsia Seorang Lelaki ini dijangka mampu menarik perhatian meluas penonton di negara ini.

“Pada masa sama, kami bekerjasama rapat dengan penerbit tempatan demi menghasilkan kandungan yang lebih moden, segar, dan dekat dengan realiti masyarakat hari ini, tanpa mengabaikan nilai hiburan yang kuat,” katanya.

Tambahnya, naskhah ini bukanlah sekadar drama romantik atau konflik rumah tangga yang biasa di kaca televisyen, sebaliknya ia sebuah permainan psikologi yang sarat dengan suspen.

“Drama ini menawarkan gabungan thriller, misteri, dan konflik emosi yang jarang diterokai dalam pasaran drama tempatan.

“Setiap episod dibina untuk membuatkan penonton terus tertanya-tanya tentang identiti sebenar Razman dan kebenaran yang disembunyikan di sebalik ‘Griya’.

“Sasaran kami adalah penonton dewasa muda serta peminat cerita berintensiti tinggi.

“Mesej utamanya jelas iaitu tentang kepercayaan, manipulasi dan bagaimana seseorang yang kelihatan sempurna sebenarnya menyimpan sisi gelap yang tidak dijangka,” katanya lagi.

Bagi Skop Productions yang cukup sinonim dengan filem aksi dan seram, naskhah kali ini merupakan satu eksperimen berani yang membuahkan hasil lumayan.

Menurut Penerbit dan Pengarah Urusan Skop Productions, Shamin Yusof, mereka mahu menghadiahkan sesuatu yang berbeza daripada acuan biasa buat peminat drama Melayu.

“Di Skop Productions, kami sentiasa mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang luar biasa.

“Menerusi naskhah ini, kami beralih sedikit daripada kebiasaan genre aksi, drama, dan seram yang sering kami bawakan.

“Kami pertaruhkan sebuah karya thriller yang lebih ‘dark’ dan memberikan fokus sepenuhnya kepada pembentukan karakter.

“Kali ini, fokus kita adalah bermain dengan psikologi, emosi, serta persoalan moral.

“Kami mahu hidangkan sesuatu yang segar untuk penonton Malaysia—sebuah cerita yang mampu membuatkan anda berfikir panjang tentang erti cinta dan kesetiaan yang sebenar,” ulas Shamin.

Shamin turut meluahkan rasa gembira apabila formula terbaharu ini mendapat respons yang sangat positif daripada penonton penstriman digital.

“Kami sangat gembira melihat Griya: Rahsia Seorang Lelaki berjaya meraih perhatian luar biasa. Selain prestasi barisan pelakon yang sangat komited dan tidak mengecewakan, kekuatan utama drama ini terletak pada plot penceritaannya yang sentiasa membuatkan penonton ternanti-nanti apa yang akan berlaku seterusnya,” tambahnya.

Bagaimanapun, menghasilkan sebuah naskhah thriller psikologi yang kemas bukan satu tugas yang mudah.

Shamin mengakui fasa awal pembangunan skrip dan pemilihan watak menuntut komitmen yang sangat tinggi demi memastikan kualiti produk akhir berada pada tahap terbaik.

“Cabaran terbesar kami adalah ketika proses perkembangan naskhah (development process).

“Kami memerlukan data yang cukup kuat dan plot yang kukuh bagi memastikan penonton setia melekat menghabiskan drama ini sehingga ke penghujung.

“Selain itu, proses pemilihan pelakon juga agak mencabar kerana kami perlu memastikan setiap daripada mereka mampu mengembangkan watak masing-masing dan benar-benar sebati apabila karakter itu dimainkan,” jelasnya lagi.

Sentuhan emas pengarah berkaliber, Faisal Ishak, turut menjadi faktor utama yang menghidupkan setiap naskhah lakonan Chacha, Scha, dan Nazim.

Faisal memuji kesungguhan para pelakon yang tidak henti-henti berbincang demi memberikan persembahan yang penuh magis.

“Sebagai pengarah, pegangan saya sentiasa sama iaitu sesebuah cerita hanya akan hidup apabila para pelakon itu sendiri percaya kepada dunia yang sedang kita bina.

“Setiap pelakon yang terlibat sebenarnya datang untuk menjadi sebahagian daripada ‘dunia’ tersebut, bukan sekadar datang untuk melakonkan watak mereka.

“Harapan saya adalah untuk penonton merasai sesuatu emosi yang mendalam.

“Kadangkala kita terlalu mengejar untuk menghasilkan cerita yang berskala besar, tetapi bagi saya, cerita yang meninggalkan kesan paling lama adalah cerita yang membuatkan penonton rasa dekat,” katanya.

Faisal turut meletakkan harapan agar karya sebegini dapat membuka mata industri bahawa produk tempatan mempunyai kualiti bertaraf antarabangsa.

“Saya juga berharap drama ini dapat membuktikan bahawa karya tempatan kita mempunyai identiti dan suara tersendiri yang mampu melangkah lebih jauh.

“Platform tontonan mungkin berubah, malah cara orang menikmati kandungan juga mungkin berbeza, namun sebuah cerita yang dihasilkan dengan jujur akan sentiasa menemui penontonnya,” akhirinya.

Bagi penonton yang belum menyaksikan atau ingin merasai sendiri debaran permainan psikologi ini, jangan lepaskan peluang untuk menonton minggu akhir Griya: Rahsia Seorang Lelaki secara eksklusif.

Anda juga boleh melakukan tontonan secara pukal (marathon) untuk keseluruhan episod menerusi aplikasi iQIYI sekarang.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Letusan gelombang VIP! 9 tahun menyepi, Bigbang sah kembali ke Kuala Lumpur sempena jelajah ulang tahun ke-20

PENANTIAN hampir sedekad peminat setia kumpulan K-Pop, Bigbang, akhirnya terjawab. Selepas sembilan tahun tidak mengadakan sebarang konsert berskala besar,...

More Articles Like This