KUALA LUMPUR – Penyanyi Nora Ariffin menzahirkan penghargaan kepada yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah atas penganugerahan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk, sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.
Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin,48, ketika dihubungi URTV berkata, sungguhpun beliau kini bergelar Datuk, namun dia tetap orang yang sama dan tidak akan berubah.
“Ramai rakan-rakan saya terutama sekali dalam industri seni sudah terbiasa dengan panggilan Nora Ariffin, jadi saya tidak kisah sekalipun mereka tidak memanggil saya dengan gelaran Datuk.
“Penganugerahan itu tidak mengubah siapa diri saya, alhamdulillah,” katanya.
Dalam pada itu, Nora bersyukur kerana terpilih menerima pingat PMW sebagai insan seni yang sudah 30 tahun menghambakan diri dalam industri seni kreatif.
“Syukur alhamdulilah, tak sangka dan tidak pernah terfikir akan menerima kurniaan ini. Rasa bangga juga kerana pengiktirafan ini diperkenan oleh Agong.
“Cuma ada kesedihan bersarang di hati sebab teringkatkan abang Johan (suami). Jika dia masih ada, kami boleh raikan kejayaan ini bersama-sama.
“Sebab saya tak rasa kejayaan ini atas usaha saya seorang kerana ia diukur daripada awal penglibatan dan pencapaian saya, jadi saya anggap anugerah ini untuk abang Johan juga,” tuturnya.

Suami Nora, Allahyarham Johan Nawawi yang juga merupakan seorang komposer meninggal dunia pada 24 Mac 2017, pada usia 52 tahun.
Selain Nora, penyanyi Yusry Abdul Halim dan penulis lirik serta skrip ternama tanah air Habsah Hassan turut menerima anugerah PMW.
Mereka bertiga antara 355 penerima Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang Wilayah Persekutuan.
Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

