PENGUSAHA perniagaan kecil terjejas teruk akibat pelaksanaan PKP - GAMBAR: Abd Razak Aid

TANJUNG KARANG – Siapa yang tidak suka ikan masin goreng yang dimakan dengan nasi sewaktu makan tengah hari atau malam kerana ia sudah tentu akan jadi pembuka selera.

Apatah lagi jika ikan masin itu tidak kira apa jenis ikan mempunyai rasa masin dan masam yang mencukupi sehingga membuat kecor air liur kita dengan hanya membayangkannya sahaja.

Salah satu jenama ikan masin yang terkenal ialah Ikan Masin Mak Cik Milah yang menjadi sebutan bukan sahaja di Tanjung Karang, Selangor malah telah mendapat tempat di hati penggemar ikan masin di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Jualan Ikan Masin yang diusahakan oleh Jamilah Shaari,64, merosot apabila aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Sungai Kajang Baru, Tanjung Karang, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

Pemilik perniagaan itu, Jamilah Shaari ,64, telah mengusahakan perniagaan ikan masin sejak 20 tahun lalu yang menjadi pendapatan utama keluarganya, selain suami yang juga seorang nelayan di Kampung Sungai Kajang Baru, Tanjung Karang.

Ikan masin yang dihasilkan oleh Mak Cik Milah menggunakan ikan gelama yang ditangkap sendiri oleh suaminya setiap kali turun ke laut mencari rezeki.

“Ikan pak cik (suami) yang tangkap di laut, bila balik mak cik akan asingkan ikan-ikan ini dan perapkan dengan garam untuk dijadikan ikan masin,” katanya ketika ditemui UtusanTV baru-baru ini.

Ikan-ikan masin itu akan dijemur di hadapan rumahnya selama dua hari ketika musim panas dan ia merupakan usaha mereka sekeluarga mencari rezeki.

Jamilah Shaari,64, memeriksa kualiti ikan masin yang dihasilkannya sebelum dipasarkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Sungai Kajang Baru, Tanjung Karang, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Mak cik dah biasa buat kerja-kerja kampung, walaupun anak-anak mak cik dah berkeluarga tapi mak cik seronok untuk mencari pendapatan sendiri. Mak cik pun tak nak menyusahkan anak-anak.

“Sementara badan ni masih sihat, mak cik tetap akan berusaha sendiri,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia berkata pendapatan hasil jualan ikan masinnya merosot sehingga 70 peratus kerana kurang pembeli.

Katanya, pendapatan hasil jualan ikan masin sebelum ini boleh mencecah sehingga RM3,000 sebulan namun ketika PKP dilaksanakan, hasil jualannya telah menurun kepada RM500 sebulan.

“Sejak orang ramai tidak boleh rentas negeri kerana PKP, jualannya terjejas kerana pelanggan-pelanggan mak cik bukan dari sekitar Tanjung Karang sahaja malah kebanyakan mereka dari merata tempat seperti  Shah Alam, Kuala Lumpur, Pahang, Seremban dan Melaka,” tambahnya.

Ditanya mengenai jualan secara online, dia berkata dia dan suami tidak pandai menggunakan media sosial dan berharap ada agensi kerajaan yang dapat membantu mereka memasarkan ikan masin di Internet. – UtusanTV

Jamilah Shaari,64, memeriksa kualiti ikan masin yang dihasilkannya sebelum dipasarkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Sungai Kajang Baru, Tanjung Karang, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid