Apabila Transparency-International (TI) mendedahkan indeks persepsi rasuah (CPI) 2020 menunjukkan Malaysia Malaysia berada di kedudukan 57 berbanding tempat 51 pada 2019 penulis bertanya pandangan seorang kawan berhubung perkara itu.
Kawan penulis itu membandingkan jenayah rasuah yang berlaku dengan penularan pandemik Covid-19. Kata beliau;
‘’Mungkin boleh kata kes rasuah sekarang ini analoginya sama la macam kes Covid, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dah buat habis-habisan, buat SOP, doktor dan jururawat bekerja 24 jam, tujuh hari seminggu, bagi amaran dan lain-lain, tetapi kes tetap juga naik, antara puncanya ialah tak patuh SOP.
”Yang langgar SOP sebab ada kepentingan diri sendiri dan lain-lain, yang langgar pulak termasuklah menteri…sama la macam rasuah, SPRM boleh dikatakan sudah habis-habisan tetapi kes tetap berlaku.’’
Kenyataan itu ada benarnya. Oleh itu jika ada pihak merasakan kejatuhan indeks itu adalah ‘peluru politik’ untuk mereka memburuk-burukkan kerajaan ia boleh dianggap satu kesilapan.
Isu rasuah bukanlah masalah baru tetapi ia sudah berakar umbi sudah sekian lama. Kalau ikutkan kepada usaha memerangi jenayah itu, ia sudah sampai ke tahap maksimum, tetapi kes tetap juga berlaku? Kenapa?
Kerana dalam kalangan masyarakat negara ini tetap ada kelompok yang mahu menjamah wang haram. Mereka sudah selesa hidup dengan melakukan pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan. Secebis kuasa yang ada di tangan dijadikan modal besar untuk mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.
Oleh itu soal kejatuhan indeks ini bukan soal kerajaan sahaja tetapi adakah sebagai rakyat, kita bertanya apakah sumbangan kita bagi membanteras perbuatan yang boleh menghancurkan negara itu?
Sebab itulah sepertimana kata Malaysia Corruption Watch (MCW) dalam satu kenyataan sebagai reaksi kepada laporan CPI itu, ‘’rakyat negara ini bukan sahaja tidak boleh berada dalam penafian bahkan turut bertanggungjawab ke atas punca kejatuhan ini kerana masih berdiam diri kepada rasuah.’’
Memang benar rasuah tetap akan wujud jika semua pihak khususnya rakyat melihat ia bukan urusan mereka. Rasuah bukan sepihak, bila ada pemberi mesti ada penerima. Jika mereka melihat rasuah sebagai perbuatan menjijikkan yang boleh meruntuhkan negara sudah pasti perbuatan jenayah itu tidak berlaku.
Kita perlu akui gejala rasuah di negara kita sudah berada pada tahap serius, tetapi ia bukan salah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ia juga bukan salah kerajaan semata-mata sehingga pembangkang bercakap ikut sedap mulut sahaja apabila Malaysia jatuh dalam indeks CPI.
Sebaliknya ia adalah tanggungjawab bersama. Memang mudah untuk menyerang kerajaan, memang senang untuk mewujudkan persepsi tetapi apakah cara sedemikian boleh menghapuskan rasuah?
Pokok pangkalnya selagi kesedaran dalam kalangan rakyat masih rendah, selagi masih wujud penjawat awam yang menjadi pengkhianat, selagi tidak ada kemahuan politik untuk membanteras gejala itu habis-habisan sampai kiamatpun belum tentu Malaysia akan bebas daripada rasuah.
Oleh itu sudah sampai masanya ‘perang besar’ dilakukan bagi memerangi rasuah. Untuk menjayakannya ia bukan sekadar bergantung kepada kerajaan khususnya SPRM tetapi semua pihak, sama ada rakyat, NGO, penjawat awam mahupun ahli politik.
Mereka bukan sahaja perlu yakin kepada SPRM tetapi juga bersama-sama dengan suruhanjaya itu memerangi ‘pandemik’ yang terus bermaharajela sejak sekian lama.
Apa yang membimbangkan, antara kejatuhan indeks rasuah itu seperti mana kata MCW kerana pengkhianatan segelintir penjawat awam yang terus melakukan rasuah.
Ini bukan cerita baru, ini bukan trend baru! Sudah berapa ribu penjawat awam ‘memakai baju oren’ kerana ditahan oleh SPRM kerana melakukan rasuah dan salah guna kuasa, tetapi ‘tunas-tunas baru’ tetap juga ‘tumbuh’ dalam agensi kerajaan.

Kadang kala yang ditangkap itu bagaikan ‘rombongan Cik Kiah’ pergi ke mahkamah. Penahanan dan apa yang mereka lakukan sudah tentu diketahui serta difahami oleh penjawat awam lain, tetapi kes demi kes tetap juga berlaku. Di mana silapnya?
Tidak payahlah bercakap soal gaji tidak cukup, tidak perlu menyatakan kos sara hidup meningkat tetapi gaji tidak naik, semua itu hanyalah alasan bersandarkan kepada prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’. Hakikatnya penjawat awam yang bersedia menerima rasuah ini adalah kelompok jahil yang mahu hidup senang dengan cara mudah.
Mereka tidak tahu hakikatnya biarpun tidak kira sebanyak manapun wang rasuah diterima, mereka sebenarnya hanyalah ‘balaci’ sama ada kepada sindiket atau individu yang bijak memperalatkan kebodohan sesetengah penjawat awam yang mahu hidup mewah.
Kelompok seumpama ini tidak harus dibiarkan. Oleh itu kerajaan perlu melaksanakan ‘operasi pembersihan’ secara besar-besaran untuk memastikan golongan ini tidak terus menjadi ‘musuh dalam selimut’ dan pengkhianat kepada negara.
Pada masa sama penjawat awam juga harus berani membuat laporan kepada SPRM jika ada rakan mereka terlibat dengan rasuah. Tidak boleh bersikap ‘butakan mata’, ‘pekakkan telinga’ dan menganggap itu bukan urusan mereka.
SPRM sudah membuka ruang seluas-luasnya untuk mereka membuat laporan memandangkan seperti mana kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ‘’mereka (penjawat awam) lebih mengetahui apa yang berlaku di jabatan atau agensi masing-masing.’’
SPRM kata Azam sedia maklum ramai kakitangan kerajaan terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kusa berdasarkan rekod dalam tempoh beberapa tahun ini.
Kita perlu ingat, kalau rakyat ‘takut sangat’ mahu melaporkan kepada SPRM, mereka sudah ada saluran lain untuk berbuat demikian. Ia memandangkan setakat ini dua pihak menunjukkan komitmen jitu untuk memerangi rasuah.
Pertama ialah Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang bersama dengan beberapa institusi dan badan bukan kerajaan (NGO) sekutunya akan menganjurkan Gerakan Jihad Rakyat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemandu MPM, Tun Hanif Omar, ia adalah gerakan nasional bagi menyediakan platform untuk rakyat bertindak secara kolektif, menolak pemimpin dan pentadbir gila kuasa, membanteras jenayah rasuah, membunuh budaya salah guna kuasa dan melumpuhkan sama sekali gerakan ekonomi hitam.

Sebelum itu Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpukan Karangkraf Datuk Dr Hussamuddin Yaacub melancarkan kempen atau gerakan yang dinamakan Sinar Untuk Malaysia #KarakterNilaiMoralBangsa.
Kempen itu bukan bertujuan mengambil alih tugas mana-mana pihak berkuasa khususnya SPRM, sebaliknya gerakan oleh akhbar Sinar Harian dengan mewujudkan Sinar Rasuah Blusters tersebut sebagai pembuka laluan mengajak rakyat bangkit membanteras rasuah.
Kata Dr.Hussamuddin, idea gerakan memulihkan moral bangsa itu tercetus dengan melihat kereputan sistem nilai, integriti dan bad governance dalam negara kita ini.
‘’Oleh kerana sistem organisasi sekarang sudah gagal (perangi rasuah), maka kita perlu organisasi baharu. Kita perlu orang baharu untuk memimpin. Kita perlu komitmen baharu daripada rakyat. Rakyat Malaysia yang membenarkan keruntuhan moral harus bangkit. Rakyat kena bangkit dengan penuh tanggungjawab untuk menyelamatkan negara,’’ tegas beliau.
Kesimpulannya, sama ada rasuah mampu diperangi atau dihapuskan atau tidak, seperti mana kata kawan penulis, ‘’cabaran dan kekangan sebenar adalah kemahuan politik dan persepsi rakyat. Kalau rakyat tak sokong dan percaya SPRM…perasuah akan terus ambil peluang.’’
Sememangnya kemahuan politik amat penting begitu juga peranan rakyat, tanpa kedua-duanya, SPRM buatlah apapun, kesudahannya ia hanya sia-sia ibarat ‘mimpi siang hari yang mengasyikkan’.