KUALA LUMPUR – Selepas tiga hari berturut-turut kes harian baharu COVID-19 mencatatkan lebih 5,000 penularan, hari ini kes baru virus itu turun kepada 4,214 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,362 kes bersamaan hampir satu pertiga daripada keseluruhan kes di seluruh negara.

Menurut beliau, daripada jumlah ini, sebanyak 967 kes (71.0 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Johor sebanyak 1,068 kes (25.3 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 702 kes (16.7 peratus).

“Sebanyak 115 kes (2.7 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Taiping (81 kes), Kluster Tembok Renggam (25 kes), Kluster Tembok Mempaga (7 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (1 kes), dan Kluster Tembok Kemus (1 kes),” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Noor Hisham, sebanyak 10 kes kematian dilaporkan pada hari ini melibatkan tiga kes di Negeri Sembilan dan masing-masing satu kes di Johor, Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak, Selangor, Perak, Melaka, dan Terengganu.

Katanya, semua kes kematian pada hari ini melibatkan warganegara dan KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka.

“Keseluruhannya sebanyak 770 kematian akibat COVID-19 dilaporkan setakat ini,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, seramai 316 individu positif COVID-19 kini dirawat di Unit Rawatn Rapi (ICU) dengan 137 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Menurutnya, sebanyak 4,280 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh setakat ini sebanyak 170,329 kes.

KKM juga ingin memaklumkan terdapat 14 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan sembilan kluster berkaitan tempat kerja, tiga kluster kumpulan berisiko tinggi, dan dua kluster komuniti.

Kluster-kluster berkenaan dilaporkan di Sabah, Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Sarawak dan Negeri Sembilan.