[VIDEO] Lanjut PKP : Usah layan pengkritik, ‘periuk nasi’ rakyat lebih penting

Dari Penulis


ANALISIS

Apakah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP akan diteruskan atau digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)? Persoalan itu begitu hangat diperkatakan dalam tempoh dua tiga hari ini.

Hari ini segalanya terjawab apabila Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan memutuskan ia disambung dua minggu lagi di seluruh negara kecuali Sarawak bermula 5 Februari hingga 18 Februari.

Seperti PKP sebelum ini, sektor ekonomi tetap dibenarkan beroperasi dan pada masa sama SOP akan diperketatkan yang turut menyaksikan rentas negeri dan aktiviti sosial tetap tidak dibenarkan.

Penulis percaya, keputusan kerajaan ini akan dikritik kerana membenarkan sektor ekonomi terus beroperasi memandangkan ada dalam kalangan pemimpin politik mahu ‘total lockdown’ dilakukan. Hujah mereka, PKP yang dilaksanakan ‘separuh masak’.

Namun seperti mana ditegaskan oleh Ismail Sabri semalam kepentingan kelangsungan hidup rakyat khususnya golongan miskin pasti menjadi keutamaan kerajaan. Ia terutamanya melibatkan peniaga-peniaga, penjaja dan golongan B40 yang ada antara mereka ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.’’

Oleh itu golongan yang hanya bijak mengkritik itu perlu mencelikkan mata untuk melihat atau berfikir apa yang berlaku jika kerajaan menerima tuntutan mereka agar sektor ekonomi ditutup sepenuhnya.

Mereka tidak fikir nasib penjaja, peniaga dan apa akan jadi kepada kelompok yang bergantung kepada pendapatan harian.

Sebab itulah Ismail Sabri memberi mesej jelas kepada kelompok tersebut dengan menegaskan,

‘’..Kita tak mahu rakyat kita mati kerana covid, kita juga tidak mahu rakyat kita mati kerana tak makan kerana tidak ada pendapatan untuk menjaga keluarga mereka.

”Ini bukan soal rakyat kita nak kaya. Macam peniaga tepi-tepi jalan ni yang jual air campur, air cendol semua tu, pendapatan dia mungkin RM50 saja satu hari yang itulah yang diberikan makan kepada keluarga. Jadi kena fikir juga.’’

Hakikatnya memanglah mudah mengkritik apa juga tindakan kerajaan dalam menguruskan pandemik Covid-19, tak perlu modal apa-apapun. Lagipun apa susahnya kalau setakat dok depan komputer, lepas tu kritik itu kritik ini. Lagi senang kalau pengkritik bertaraf pemimpin yang memiliki team media sosial sendiri.

Tetapi adakah mereka benar-benar menyelami perasaan atau memikirkan nasib rakyat miskin jika PKP penuh (total lockdown) dilaksanakan?

Boleh dikatakan setiap kali singgah membeli makanan di warung atau restoran, penulis pasti bertanya bagaimana pendapatan mereka semasa PKP, benar mereka mengeluh kerana pendapatan berkurangan tetapi tetap bersyukur masih ada pendapatan berbanding jika tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP dilaksanakan.

Justeru kerajaan rakyat tidak perlu membuang masa untuk melayan golongan yang kita sudah tahu kecenderungan politik mereka. Lakukanlah apa juga tindakan yang difikirkan wajar.

Mereka yang ‘cakap banyak’ ini tidak tahu kedudukan sebenar. Mereka memberi komen hanya melihat kes semakin meningkat. Jadi pada mereka, ‘total lockdown’ cara terbaik. Sedangkan kesannya kepada ekonomi amat teruk dan paling malang ia menjejaskan kehidupan golongan miskin.

Percayalah kalau kerajaan melaksanakan ‘total lockdown’, mereka akan persoal pula dan mungkin menggunakan hujah Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat, Dr. Anthony Faucci menegaskan, penutupan penuh akan menyebabkan kesan ekonomi yang sangat buruk.

Oleh itu biarlah kelompok berkenaan ‘memekak’ dalam media sosial maklumlah nak ‘memekak’ dalam Dewan Rakyat dah tak boleh kerana Parlimen digantung berikutan pengisytiharan darurat.

Keputusan meneruskan PKP tetapi pada masa sama membenarkan sektor ekonomi beroperasi dan akan memperketatkan SOP adalah langkah terbaik kerana sementara mahu memerangi pandemik Covid-19, kerajaan juga mahu menjaga ‘periuk nasi’ rakyat khususnya golongan miskin.

Kepada pengkritik, tontonlah video di atas, hayatilah dan ‘hadamkan’ apa yang dikatakan oleh Ismail Sabri, ”dengarlah denyutan nadi rakyat”.

Itulah kalau betul mereka ikhlas berjuang untuk rakyat!


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Remaja 17 tahun maut Honda Wave terlibat kemalangan dengan lori

SEORANG remaja berusia 17 tahun maut selepas motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori...

More Articles Like This