KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mula mengambil tindakan undang-undang ke atas bekas peguam negara, Tommy Thomas, yang didakwa memfitnahnya dalam memoir bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

Dalam surat tuntutan (LOD) Najib melalui peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bekas perdana menteri itu menuntut permohonan maaf dan ganti rugi RM10 juta daripada Tommy.

“Jika kami tidak terima jawapan memuaskan dari anda Jumaat ini, arahan jelas kami ialah memulakan prosiding undang-undang awal minggu depan.” kata LOD berkenaan yang dikeluarkan firma Shafee & Co.

Menerusi surat tuntutan berkenaan, dinyatakan fitnah serius dibuat Tommy merujuk kepada bab 42 di muka surat 404 dan 405 iaitu berkait dakwaan kes pengakuian seorang anggota polis dalam kes pembunuhan Altantuya Shaaribu.

Jelas Muhammad Shafee, anak guamnya juga menuntut Tommy menarik balik dengan segera bahagian yang dimaksudkan daripada buku tersebut.

LOD merupakan langkah pertama dalam proses tindakan undang-undang libel sebelum saman difailkan jika tuntutan yang dinyatakan tidak dipenuhi.

Buku memoir Tommy itu yang dipasarkan hujung minggu lalu menjadi perhatian ramai berikutan beberapa dakwaan yang dibuat beliau termasuk berkaitan Najib.

Selanjutnya, memetik laporan portal Free Malaysia Today, dalam surat tuntutan kepada Tommy, Najib mengatakan bahawa pada 31 Januari, bekas Peguam Negara telah menerbitkan sebuah buku dan tuduhan fitnah itu ada dalam bab 42 dengan judul “Altantuya” yang dari halaman 400 hingga 405.

Ia juga mengatakan bahawa kenyataan Tommy mengenai Najib dalam buku itu jelas didorong oleh mala fide dan usaha mementingkan diri sendiri untuk mencari publisiti murah yang didorong oleh “ego, sensasionalisme dan keuntungan”.

Baca artikel berkaitan: AG: Tommy Thomas dakwa dapat sokongan DAP dari PRU 2013 lagi

Kenyataan itu menambah bahawa penulisan Thomas jelas memfitnah Najib dan menyebabkan dirinya menderita dan berasa malu.

Surat itu turut menuntut permohonan maaf daripada Tommy untuk disiarkan di akhbar pilihan Najib, dengan ikrar janji oleh Tommy untuk tidak mengulangi tuduhan dan komen dalam buku itu, serta ganti rugi RM10 juta sebagai balasan kerana mencemarkan reputasi Najib.

Pada 31 Januari, Tommy mengeluarkan buku memoir 573 muka surat yang antara lain memaparkan kisah kejayaan dan kegagalan sewaktu pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan dari perspektifnya.