JAKARTA – Gara-gara menjalankan urus niaga dengan syiling dinar dan darham sehingga kisah itu tular di media sosial, pengasas Pasar Muamalah, Zaim Saudi dekat Depok,Jawa Barat ditahan polis Indonesia, hari ini.

Lapor Detik.com, perkara itu disahkan jurucakap Polis Republik Indonesia,Rusdi Hartono.

“Benar (ditangkap),” kata beliau ringkas semasa diminta mengesahkan penahanan pengasas Pasar Muamalah tersebut.

Sebagaimana diketahui, Pasar Muamalah di kawasan Depok tular di media sosial kerana melakukan transaksi jual beli menggunakan wang asing iaitu dinar dan darham, bukannya rupiah.

Pasar yang terletak di Jalan Raya Tanah Baru, mukim Beji itu beroperasi sekali setiap dua minggu.

Setiap kali dibuka, pasar itu hanya beroperasi selama empat jam dari pukul 7 hingga pukul 11 pagi waktu tempatan.

Pasar Muamalah menjual sejumlah barang seperti pakaian Muslim, sandal, minyak wangi dan makanan ringan.

Maklumat penggunaan syiling dinar dan darham hanya diketahui menerusi laporan yang dibuat penduduk.

Bagaimanapun Zaim sebelum ini menafikan berlakunya transaksi menggunakan mata wang asing di Pasar Muamalah.

Dia menegaskan, penggunaan dinar dan darham itu hanyalah istilah selain mendakwa perkara itu dilakukan untuk memperkenalkan alat pertukaran sunah dibuat oleh Nabi Muhammad SAW.

“Kita memang di dalam alat tukar itu, kita memperkenalkan alat tukar sunah yang diadakan oleh Nabi SAW, iaitu syiling emas, syiling perak, dan syiling tembaga. Jadi syiling kami  bukan dinar dan dirham namanya. Itu itu orang yang tidak faham langsung dikaitkan dengan Undang-Undang Mata Wang,” kata Zaim.

Mata wang rupiah wajib digunakan sebagai mata wang yang sah dalam transaksi di Indonesia. Jika ada transaksi menggunakan selain rupiah, pelaku boleh disabitkan dengan Undang-Undang Nomor 7 Tahun 2011 tentang Mata Wang.

Pelaku boleh dikenakan hukuman penjara paling lama 1 tahun penjara dan denda paling banyak 200 juta rupiah (RM57,788)