nona manis inti kelapa

Nona manis antara juadah kuih tradisional yang enak dan menjadi kegemaran ramai. Rasanya yang manis dan berlemak bukan sahaja sesuai dinikmati waktu sarapan dan minum petang tetapi pada bila-bila masa. Memang sedap dan wajib cuba.

BAHAN A
1 biji telur
½ cawan gula halus
1 cawan santan – campur santan kotak dengan sedikit air jadikan 1 cawan
1 cawan tepung gandum

BAHAN B
½ cawan santan pekat
½ cawan air daun pandan
¼ cawan gula halus
¼ cawan tepung jagung
Secubit garam
Sedikit pewarna hijau epal

BAHAN C
1 cawan santan pekat
1 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar gula pasir
½ sudu kecil garam halus

BAHAN INTI
½ biji kelapa parut – ambil putih sahaja
1 ketul gula Melaka
½ sudu kecil garam
½ cawan susu manis
2 helai daun pandan – simpul
½ cawan air
2 sudu besar tepung gandum

CARA
1.PENYEDIAAN BAHAN A: Pukul telur sehingga kembang.
2.Dalam bekas lain, satukan gula, tepung gandum dan santan. Kacau rata.
3.Akhir sekali, tuangkan adunan telur dan pukul atau kacau rata. Ketepikan.
4.PENYEDIAAN BAHAN B : Satukan gula, tepung jagung, garam dan sedikit pewarna hijau.
5.Kemudian masukkan santan yang dicampur dengan air daun pandan. Kacau rata dan tidak berbintil-bintil.
6.Masak dengan api sederhana hingga ia meletup-letup, berkilat dan sedikit pekat. Angkat dan biarkan, suam-suam kuku.
7.Tuangkan adunan A ke dalam adunan B. Kacau rata sehingga menjadi adunan yang pekat dan licin. Ketepikan.
8.PENYEDIAN BAHAN C : Satukan semua bahan C dan kacau rata. Kemudian masak atas api sederhana dan kacau sehingga pekat.
9.Tunggu suam sedikit dan masukkan dalam piping beg. Ketepikan.
10.PENYEDIAAN BAHAN INTI : Didihkan air dalam kuali dan masukkan gula Melaka, garam dan daun padan. Masak sehingga gula larut.
11.Masukkan kelapa parut. Kacau sehingga air kering. Apabila inti sudah agak lembap, taburkan tepung gandum supaya inti melekat dan tidak berderai. Kacau rata dan sejukkan inti.
12.CARA MEMBUAT NONA MANIS KESELURUHANNYA : Panaskan pengukus sehingga airnya mendidih. Balut tutup kukusan dengan kain supaya air pada tutup kukusan tidak menitis pada kuih. Sediakan acuan lompang yang kecil, oleskan acuan lompang dengan minyak jagung.
13.Tuangkan adunan hijau dalam acuan lompang hingga ½ cawan acuan lompang. Masukkan sedikit inti di tengah adunan. Paipkan kembali 1/3 adunan hijau.
14.Kemudian paipkan pula adunan putih di tengah-tengah adunan hijau sehingga adunan naik memenuhi acuan cawan lompang. Kukus selama 7 hingga 10 minit. Angkat dan biarkan sejuk sebelum di keluarkan dari acuan.

Resepi: Bunga Lawang Cafe, Seksyen 7 Bandar  Baru Bangi, Selangor

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi