Memoir: Zahid dakwa Tommy langgar sumpah kerahsiaan

0
414
zahid

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat tidak terpengaruh dengan penulisan bersifat pandangan yang terkandung dalam buku memoir Tan Sri Tommy Thomas, MyStory: Justice in the Wilderness.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, penulisan Tommy juga jelas bertentangan dan melanggar sumpah jawatan sebagai Peguam Negara untuk menjaga dan menyimpan kerahsiaan kerajaan pada setiap masa walaupun jawatan tersebut tidak lagi disandangnya.

Tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, adalah menjadi teras utama di dalam jabatan kerajaan apabila sesuatu maklumat yang diperoleh mana-mana pegawai adalah diklasifikasikan sebagai “Rahsia Besar”, “Rahsia” atau “Sulit” tertakluk pada Akta Rahsia Rasmi dan tidak sepatutnya dikongsi kepada umum.

“Apatah lagi apabila ia dijadikan “pelaris” kepada buku yang mengetengahkan pandangannya dan bukan fakta,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid dalam kenyataan medianya itu turut mempersoalkan pandangan Tommy berkenaan peristiwa 13 Mei di dalam memoir tersebut yang jelah suatu kenyataan tidak bertanggungjawab dan dibuat tanpa mengira sensitiviti peristiwa tersebut di dalam kalangan masyarakat.

“Kenyataan tersebut juga tidak seharusnya diambil kira sebagai fakta sejarah atas sebab tohmahan yang mengaitkan Tun Abdul Razak dengan peristiwa 13 Mei tersebut ternyata hanya pendapat peribadi beliau dan bertujuan untuk merendahkan kredibiliti Tun Abdul Razak yang juga bekas Presiden UMNO.

“Ketika negara dibanjiri dengan pelbagai isu yang meresahkan rakyat, komen-komen yang dibuat oleh Tommy adalah tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

Baca artikel berkaitan: Tak boleh lagi biar PM seorang tentukan siapa Peguam Negara – Tok Mat

Tambah Ahmad Zahid, di dalam memoir tersebut juga Tommy bukan sahaja memperlekehkan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya malah keseluruhan Jabatan Peguam Negara yang beliau sendiri terajui sebagai Peguam Negara.

Katanya, hal ini boleh mengundang persepsi negatif masyarakat berkenaan keupayaan dan kebolehan pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara yang berkorban untuk berkhidmat kepada negara.

“Komen bahawa pegawai kerajaan hanya menantikan pangkat, gaji di hujung bulan dan faedah pencen adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab terutamanya apabila ia datang dari ketua jabatan iaitu sebagai Peguam Negara.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah kenyataan fakta yang ditulis adalah tidak tepat dan lebih kepada dimanipulasi untuk menyemai rasa benci dan fitnah terhadap UMNO/BN, terhadap individu-individu yang dinamakan, pemimpin politik dan jabatan yang pernah diterajuinya dengan tujuan untuk memesong kepercayaan rakyat terhadap organisasi kerajaan secara keseluruhannya,” katanya.

Dakwa Ahmad Zahid, memoir tersebut secara tersendiri seperti menggambarkan Tommy seorang individu yang tidak boleh menyimpan rahsia, sukakan pujian dan menginginkan publisiti terhadap dirinya.

Kata Presiden UMNO itu, malah memoir tersebut juga menyentuh berkenaan keputusan yang dibuat olehnya ketika menjadi Peguam Negara, antaranya termasuklah kes LTTE dan kes kematian anggota bomba, Mohammad Adib.

“Keputusannya dalam kes LTTE, hanyalah berdasarkan kepada tunjuk arah bahawa LTTE sudah tidak aktif dari tahun 2009.

“LTTE masih sebuah organisasi pengganas dan sebarang usaha untuk mengumpul dana bagi organisasi ini adalah menyalahi Kanun Keseksaan.

“Selain itu, keputusan Tommy untuk tidak menuduh sesiapa di dalam kes Adib juga telah didapati salah oleh Mahkamah Koroner yang menyatakan bahawa kematian Adib telah disebabkan oleh dua orang atau lebih,” ujarnya.