KUALA LUMPUR – Benar atau tidak dakwaan Tan Sri Tommy Thomas itu satu bab.
Namun satu apsek lagi, memoir bekas Peguam Negara (AG) itu mengingatkan pada semua bahawa kedudukan AG satu jawatan penting yang datang bersamanya kuasa dan tanggungjawab maha besar.
Paling menjadi perhatian, kuasa untuk mendakwa atau mengehentikan pendakwaan terletak di tangan AG seperti mana peruntukan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, kaedah pelantikan AG tidak seharusnya diputuskan oleh seseorang Perdana Menteri hasil perbualan beberapa pihak berkepentingan sahaja agar tidak mengulangi tindakan serupa.
Mengambil contoh memoir Tommy itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, buku tersebut telah memaparkan betapa maha berkuasanya seorang Peguam Negara dan institusi tersebut.
Justeru bagi Mohamad, terdapat dua perkara penting yang perlu dilihat kerajaan iaitu mereformasi kaedah pelantikan AG dan kedua, mengehadkan kuasa Peguam Negara.
“Malaysia mesti mempunyai kaedah yang lebih telus dan berwibawa dalam perlantikan seorang Peguam Negara. Perlantikan Peguam Negara sebagai prerogatif mutlak seorang Perdana Menteri wajar dinilai semula.

“Lebih merisaukan bila pencalonan datang dari individu tertentu yang berkepentingan dan melalui perbualan dengan Perdana Menteri seperti yang di tulis oleh Tun Mahathir sendiri.
“Malaysia mesti mempunyai tatacara perlantikan yang menepati segala ciri ketelusan dan kompetensi bagi jawatan berkepentingan awam dengan kuasa yang luar biasa seperti Peguam Negara,” katanya.
Mohamad berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini.
Baca artikel berkaitan: AG: Tommy Thomas dakwa dapat sokongan DAP dari PRU 2013 lagi
Menurut bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, kuasa yang memusatkan segalanya kepada seorang AG mesti dihadkan dengan memisahkan jawatan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.
Katanya, mungkin wajar untuk Kerajaan mempertimbangkan pemisahan peranan tersebut dengan melantik Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi menjalankan fungsi yang berbeza.
“Walaupun saya realistik bahawa meminda Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan adalah sukar, namun persediaan ke arah matlamat tersebut mesti dilakukan.

“Ini demi pelaksanaan dan pentadbiran undang-undang yang dihormati dan berwibawa,” jelasnya.
Menerusi hantaran terbaru itu, Mohamad juga berkata, tidak ingin mengulas tentang isu, peristiwa dan pengkisahan Tommy dalam bukunya My Story: Justice in the Wilderness.
“Itu memoir beliau dan pandangan beliau tidak semestinya benar, sahih dan berwibawa. Yang pasti beliau harus bertanggungjawab dengan apa yang beliau tuliskan,” katanya yang sehubungan mahu dua agenda reformasi berkenaan dilakukan. kerajaan.

