KUALA LUMPUR – Seramai 112 daripada 643 individu yang ditahan semalam didapati melakukan kesalahan merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, untuk pelbagai kesalahan melanggar PKP, pihak berkuasa mengeluarkan kompaun ke atas 623 orang, manakala 20 individu direman.
Katanya, kompaun tertinggi ke atas 144 individu yang tidak memakai pelitup muka, diikuti 133 orang yang gagal melakukan penjarakan fizikal.
“Selain itu, gagal merekod butiran pelanggan 112 kes, premis beroperasi lebih masa dan tanpa kebenaran (34), keluar rumah tanpa alasan munasabah (42) dan lain-lain (66),” katanya dalam kenyataan akhbar mengenai perkembangan PKP di sini, hari ini.
Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) mengadakan 607 sekatan jalan raya di seluruh negara semalam dan berjaya menahan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI).
Katanya, turut dirampas lima kenderaan selain 81 bot dan kapal dikesan yang dikesan berada di perairan negara.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus,” katanya.
Ismail memaklumkan, sejak 24 Julai tahun lalu sehingga semalam, seramai 117, 449 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 73 hotel dan 14 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.
“Seramai 7,599 individu dikuarantin dan secara kumulatifnya, seramai 109,361 orang dibenarkan pulang manakala 489 lagi dibawa ke hospital, “katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 8,717 pekerja warga asing menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu 299 orang disahkan positif Covid-19 setakat semalam.
“Secara kumulatifnya, seramai 305,620 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 13,202 majikan sejak 1 Disember lalu.
“Daripada jumlah ini, 6,028 orang positif Covid- 19, manakala 299,592 lagi adalah negatif,” katanya. – Utusan TV

