Moguicheng, sebuah kawasan gurun yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Xianjang di China. Tanah tandus ini turut popular dengan panggilan lain seperti ‘Haunted City’, ‘City of Satan’, ‘Windy City dan ‘Demon City’. Kesemua nama tersebut diambil daripada fenomena pelik yang sering berlaku di sini.

Moguicheng yang bermaksud ‘bandar hantu’ atau ‘syaitan’ memang terkenal dengan keanehannya. Ramai yang pernah sampai ke sini menceritakan pelbagai perkara pelik, termasuklah keadaan bentuk muka buminya yang ganjil.

Moguicheng, gurun tandus yang dipenuhi formasi aneh.

Tiada satu pun haiwan atau tumbuhan, bahkan manusia hidup di sini. Yang ada hanya dataran kering berwarna oren, dikelilingi dengan pelbagai formasi busut atau bukit ganjil yang tidak dapat dilihat di tempat lain.

Daripada rekod sebelum ini menunjukkan, bukit-bukit di sini terdiri daripada bermacam-macam warna seperti merah, biru, putih dan oren. Saiznya juga pelbagai , paling tinggi mencapai lebih daripada 20 meter atau menyamai ketinggian bangunan empat tingkat. Setiap daripadanya terletak dalam posisi tidak teratur. Ada yang berdiri tegak, senget malah sebahagian lainnya bertindih-tindih.

Berdasarkan sejarah, bentuk muka bumi Moguicheng asalnya tidak seaneh seperti hari ini. Difahamkan, semasa tempoh Cretaceous (kira-kira 100 juta tahun dahulu), tempat ini bukanlah kawasan padang pasir. Tapi, ia merupakan tasik air tawar yang besar di mana ada hidupan seperti tumbuh-tumbuhan, juga haiwan purba termasuk Wuerhe stegosaurus, plesiosaurus dan dinosaur.

Tasik itu bagaimanapun tidak kekal lama. Daripada masa ke semasa, air tasik didapati surut sehingga mendedahkan batuan, sedimen dan jurang. Kemudian sekitar 300 ribu hingga 700 ribu tahun dahulu, landskap asal ini diubah oleh kuasa alam menjadi pelbagai bentuk yang sangat menakjubkan.

Hari ini, ukiran semula jadi dari batuan dan longgokan tanah liat pelbagai topografi itu masih kekal di tempatnya, bertaburan di seluruh kawasan Moguicheng.

Bentuk batuan di sini juga digambarkan dengan bermacam-macam rupa. Selain yang berbentuk istana, ada yang seperti tangga, astaka, kuil, pagoda, tembok, kenderaan seperti bas dan bot. Malah ada juga yang berupa seperti wajah manusia, haiwan serta makhluk menakutkan.

Di samping bentuk geologinya yang aneh, ada satu perkara yang menyeramkan dilaporkan sering berlaku di sini. Difahamkan, tempat ini kerap mengeluarkan bunyi misteri. Bunyi-bunyian yang dihasilkan juga datang dalam pelbagai variasi.

Dikatakan, pada siang hari saat cuaca cerah dan berangin, sesiapa yang berada di kawasan ini akan mendengar bunyi aneh seperti loceng dan petikan gitar. Kadang-kadang, bunyi yang datang itu juga mirip suara manusia berbisik dan menyanyi. Sayup-sayup dan lembut, tapi jelas kedengaran.

Bunyi-bunyian menyenangkan itu bagaimanapun boleh berubah bila-bila masa. Biasanya, apabila waktu malam atau cuaca menjadi mendung, suara yang terhasil juga bertukar menjadi menakutkan. Paling seram, suara itu ada kalanya mirip bunyi raungan, ngauman harimau, trompet gajah, wanita menjerit dan bayi menangis. Difahamkan, semakin kuat angin bertiup, semakin jelas ia kedengaran.

Gurun ini mengeluarkan pelbagai bunyi aneh dan menyeramkan.

Persoalan tentang dari mana datangnya suara misteri itu telah lama menjadi tanda-tanya. Oleh kerana dahulu tiada penjelasan saintifik berhubung perkara ini, maka banyak teori muncul dan dikaitkan dengan fenomena tersebut. Antara teori paling sering diperkatakan ialah hantu.

Bagi warga tempatan, mereka percaya bahawa bunyi-bunyian yang menakutkan itu merupakan suara hantu, roh dan syaitan yang muncul daripada neraka di bawah kota tersebut. Sebab itulah kenapa mereka menamakan kawasan ini sebagai bandar hantu atau bandar syaitan.

Hanya apabila sains berkembang, beberapa orang ilmuwan telah tampil menerangkan hal sebenar yang berlaku gurun ini. Mereka menyangkal bahawa bunyi-bunyian aneh itu bukanlah suara hantu atau roh. Adapun yang berlaku di situ sebenarnya ialah faktor angin.

Tiupan angin kuat yang melewati rongga-rongga batuan dipercayai telah mencetuskan pelbagai jenis bunyi sehingga kadangkala kedengaran agak menyeramkan kepada siapa pun yang mendengarnya. Namun, tiada kajian yang lebih teliti dilakukan untuk teori ini.

Kepercayaan masyarakat di sana lebih kuat mengaitkan segala keganjilan di gurun misteri ini sebagai suara-suara ghaib.