KUALA LUMPUR – Pengurus kepada penyanyi Aiman Tino, Mahadhir Mohamad menafikan artis rakamannya itu mengabaikan karier seninya.
Mahadhir ketika dihubungi URTV sebentar tadi, memaklumkan pelantun lagu Ku Rela Dibenci itu sebenarnya tidak seperti apa yang didakwa oleh ibunya, Hazelina Mat Jalil di Instagram.
Dedahnya lagi, penyanyi berusia 22 tahun itu ada menghubunginya selepas status yang dimuat naik ibunya itu tular.
“Walaupun Aiman sudah berpindah ke Ampang, tapi dia ada maklumkan pada saya yang dia baharu pulang ke rumah keluarganya di Kuala Kubu Bahru tiga hari lalu.
“Sepatutnya Aiman dan ibu bapanya terlibat dengan satu rakaman program hiburan di sebuah stesen televisyen pada harini. Namun, lewat malam semalam, penyelaras rancangan terbabit terpaksa menunda tentatif Aiman kepada masa lain pada saat akhir.
“Dan ketika diberitahu jadual baharu, waktu yang ditetapkan pula bertembung dengan hal kerja berkaitan pembukaan cawangan baharu AT Char Kuey Teow di Aeon Shah Alam.
“Isunya hanyalah masalah komunikasi sahaja kerana Aiman dapat info lambat dan ia mungkin berlaku perselisihan faham daripada pihak ibunya,” katanya kepada URTV.
Petang tadi, Hazelina atau Hazel mengeluarkan kenyataan menerusi entri di Instagram yang mendakwa Aiman gagal dihubungi hingga menggangu urusan kerjaya seninya.
Malah dedah Hazel lagi, sikap Aiman mulai berubah selepas kehidupannya dikongkong seorang wanita yang dikenali sebagai Fara Hanis.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

