Isu J&T: Pekerja kurier perlu tubuh kesatuan sekerja, kerajaan pantau majikan – MTUC

Dari Penulis

KUALA LUMPUR – Isu pekerja J&T Express (J&T) membaling barang pelanggan yang tular di media sosial kerana tidak berpuas hati dengan majikan seharusnya dipandang serius oleh kerajaan demi menjamin nasib pekerja.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam satu kenyataan menggesa Kementerian Sumber Manusia memantau dan membuat pemeriksaan secara berkala terhadap majikan sektor tersebut bagi memastikan pekerja berkaitan mendapat pembelaan sewajarnya.

Baru-baru ini, kejadian pekerja J&T membaling barang pelanggan menimbulkan kemarahan masyarakat kerana kakitangan syarikat itu dikatakan kurang jelas mengenai sistem pengagihan bonus dan tekanan kerja ketika musim COVID-19.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor, berkata isu seperti tiada kontrak perkhidmatan, tiada kenaikan gaji tahunan dan pembayaran gaji lewat perlu diberi perhatian serta dikaji oleh kementerian berkaitan.

Pada masa sama, katanya, inisiatif kementerian itu untuk mewujudkan saluran aduan secara dalam talian perlu dilancarkan secepat mungkin bagi memberi kemudahan membuat aduan.

J&T kemudiannya mengeluarkan video pekerja memohon maaf kepada pelanggan kerana insiden membaling barangan.

“Bagi membantu pekerja dalam sektor ini mendapatkan faedah lebih baik, MTUC juga mencadangkan dan menasihat pekerja supaya menganggotai atau menubuhkan kesatuan sekerja.

BACA: Akhirnya J&T mohon maaf pekerja lempar barang seperti dalam video tular

“Majoriti pekerja dalam sektor ini tidak terbabit dalam kesatuan pekerja. MTUC sedia membantu dan mereka boleh hubungi MTUC bagi tujuan penubuhan kesatuan sekerja.

“Ia sebagai satu jaminan bagi pekerja mendapatkan suasana kerja lebih baik di tempat kerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarul Baharin berkata, MTUC setakat ini tidak menerima aduan secara bertulis daripada pekerja J&T.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan kementerian terbabit menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk merungkai di sebalik kejadian yang berlaku.

“JTKSM memaklumkan siasatan sudah dilakukan bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.

Beliau berkata, MTUC melihat insiden itu sebagai ‘api dalam sekam’ terhadap beberapa sektor perkhidmatan kurier, pembersihan dan penghantaran makanan susulan sambutan serta permintaan tinggi dalam suasana negara dilanda penularan COVID-19.

“Pekerja dalam sektor ini adalah golongan B40 dan mudah terkesan apabila sesuatu perkara membabitkan implikasi kewangan.

“Biasanya syarikat dalam industri ini memberi gaji minima tanpa faedah lain. Pekerja terpaksa bekerja lebih masa bagi mendapatkan upah tinggi,” katanya. – UtusanTV


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Parlimen dijangka dibubar selepas pembentangan Belanjawan – Penganalisis

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membubarkan Parlimen pada bulan November iaitu selepas pembentangan Belanjawan 2027, Oktober depan. Pengarah...

More Articles Like This