TAIPING – Akibat ciapan kontroversi di Twitter mengenai keputusan hakim terhadap bekas Perdana Menteri, Julai tahun lalu, seorang aktivis politik, Ramesh Rao dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Taiping, hari ini.
Remesh, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh secara sedar memuat naik penghantaran komunikasi jelik melalui perkhidmatan aplikasi Twitter menggunakan nama profil “RameshRaoAKS****” dengan niat menyakiti hati orang lain, jam 12.58 tengah hari pada 28 Julai 2020.
Hantaran itu kemudian dibaca kira-kira jam 8 malam pada hari sama di rumah Nombor 10 Lorong 2 Taman Desa Trong Utama dalam mukim Trong, Taiping, Perak.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sariza Ismail di hadapan Hakim, Zulhelmy Hasan.
Pihak pendakwaan memohon tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 sebelum pihak pembelaan merayu kadar itu dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan tertuduh menghormati institusi kehakiman, selain ketiadaan risiko bagi tertuduh melarikan diri.
“Walaupun menetap di Petaling Jaya, Selangor dan saman untuk hadir ke mahkamah hanya diterima pada minggu lalu, OKS (Orang Kena Saman) (tertuduh) tetap hadir ke mahkamah ini, hari ini sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa.
“(Seperti) sekarang walau tanpa dikenakan ikat jamin pun OKS tetap hadir. Wang jaminan juga bukan sifatnya menghukum namun untuk pastikan tertuduh hadir ke mahkamah selain ditambah dengan kekangan kewangan berikutan perlaksanaan PKP,” kata peguam, Shamsher Singh seperti dilapor BH Online.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 16 Mac depan untuk sebutan semula kes berserta penyerahan dokumen.
Tertuduh membayar wang jaminan.

