SKM peruntuk RM1 juta bantuan kecemasan untuk koperasi

Dari Penulis

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan bantuan kecemasan koperasi berjumlah RM1 juta bagi meringankan beban koperasi-koperasi yang terjejas teruk akibat banjir di beberapa negeri baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dana bantuan di bawah Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi ini akan disalurkan kepada 73 buah koperasi yang telah dikenalpasti di negeri-negeri terlibat.

‘’Ia merangkumi di Pahang (40 koperasi), Kelantan (3 koperasi), Terengganu (9 koperasi), Johor (9 koperasi), Sarawak (2 koperasi), Sabah (2 koperasi), Perak (5 koperasi), Negeri Sembilan (1 koperasi), Melaka (1 koperasi) dan juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1 koperasi : projek dan aset koperasi di Raub, Pahang),’’ katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, bantuan itu akan disalurkan terus kepada koperasi-koperasi terlibat dan dipantau pelaksanaannya oleh SKM Cawangan Negeri.

‘’Saya berharap bantuan kecemasan ini dapat membantu koperasi membangunkan semula aktiviti ekonomi serta mengurangkan beban koperasi yang terjejas akibat bencana alam tersebut,’’ katanya.

Wan Junaidi menjelaskan, bantuan kecemasan itu akan digunakan sepenuhnya oleh koperasi untuk menampung apa-apa kerosakan premis, aset atau produknya akibat banjir.

‘’Inisiatif ini dilihat sebagai salah satu usaha SKM untuk memastikan kesejahteraan dan kelangsungan operasi koperasi terus bertahan dan dibela,’’ katanya.

Beliau juga menyarankan semua agensi di bawah MEDAC untuk menyegerakan bantuan yang berkaitan demi membantu meringankan beban rakyat akibat bencana alam itu.
Menurut Wan Junaidi, MEDAC dan SKM akan terus memastikan koperasi yang terjejas diberi perhatian sewajarnya.

‘’ Ia diharap dapat meningkatkan kembali kapasiti koperasi untuk menggerakkan semula aktiviti perniagaan agar terus menjadi penyumbang efektif kepada pembangunan ekonomi negara,’’ katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Polis sahkan Haim Hilman digari, tegaskan ikut prosedur

POLIS mengesahkan Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah berada dalam...

More Articles Like This