SINGAPURA – Gara-gara menggunakan maklumat kad debit rakan-rakannya untuk melakukan urus niaga haram, seorang bekas peserta Miss Universe Singapore hari ini dijatuhi hukuman penjara selama enam minggu oleh mahkamah.
Berita.mediacorp.sg melaporkan, Ashley Rita Wong Kai Lin, yang kini berusia 27 tahun, menghafal nombor kad bank rakan-rakannya dan dalam tempoh tiga bulan pada 2016 sudah membelanjakan lebih S$2,000 (RM6,104) daripada wang mereka bagi menempah pengangkutan, penginapan hotel dan pakaian yang dibeli online.
Penyiar rancangan e-sukan itu, yang mempunyai hampir seribu pengikut melalui saluran penstrimen Twitch, sebelum ini mengaku bersalah atas empat tuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan Keselamatan Siber, dengan 27 pertuduhan serupa turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.
Mahkamah diberitahu peserta Miss Universe Singapore 2017 itu secara tidak sah menggunakan kad bank milik tiga rakannya, walaupun pihak pendakwaan hanya meneruskan tuduhan yang melibatkan dua daripada mereka iaitu Andrew Lim, 28, dan Kimberly Qwee, 26,.
Wong bertemu dengan Lim selepas berpisah dengan bekas teman lelakinya.
Semasa Lim berada di tandas, Wong mengambil dompet beliau yang ditinggalkan di atas meja dan menghafal butiran kad debitnya.
Dia kemudian menggunakan maklumat tersebut untuk membuat 21 pembayaran antara bulan Ogos dengan September 2016, termasuk hampir S$200 (RM610) di sebuah kedai online Showpo dan sekitar S$300 (RM915) bagi membeli tiket.
Wong juga menghafal butiran kad debit Qwee semasa beliau meninggalkan kadnya begitu saja. Wong kemudian menggunakannya untuk membuat beberapa pembayaran, termasuk S$260 (RM793) untuk menginap di Hotel Clover.
Qwee mendapat tahu tentang perkara itu apabila beliau cuba membuat pembayaran online menggunakan kadnya tetapi tidak diterima kerana akaun banknya tidak mempunyai dana yang mencukupi.
“Wong bagaimanapun sudahpun memulangkan sebahagian besar wang mangsanya,” kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Cheng You Duen, meskipun tidak dapat membuat bayaran ganti rugi kepada beberapa peniaga setelah rakan-rakannya membatalkan urus niaga dan mendapat bayaran balik.
Peguam belanya, Christine Low berkata, kes anak guamnya kecil kerana tidak dirancang terlebih dahulu.
“Dia tidak mengambil sebarang langkah untuk mengelak daripada dikesan dan mengaku bersalah apabila ditanya,” kata Low, sambil menambah ini adalah kesalahan pertama Wong dan dia sudah mengaku bersalah sebaik sahaja terdapat peluang untuk melakukannya.
Dalam catatan yang dimuat naik ke laman Instagramnya pada hujung tahun lalu menyusuli laporan-laporan media mengenai kesnya, Wong meminta maaf kepada rakan-rakannya dan mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana menegurnya, sambil menambah dia sudah mendapatkan rawatan ahli psikiatri.
“Ia satu pengajaran bagi saya agar bangkit semula daripada kemurungan selepas berpisah (daripada teman lelaki) yang curang,” tulis Wong.
Namun pakar psikiatri Wong tidak dapat mengesahkan sama ada dia mengalami gangguan mental semasa melakukan kesalahan tersebut yang boleh menjadi punca dia melakukan kesalahan itu, menurut DPP Cheng pada Isnin lalu.
Beliau berhujah bahawa kesalahan Wong melibatkan sedikit perancangan kerana ia memerlukannya untuk secara aktif menghafal beberapa nombor semasa mangsanya tiada di tempat kejadian.
Mempertikaikan hujah peguam bela, DPP Cheng berkata, siasatan menunjukkan bahawa dia langsung tidak mengakui perbuatannya itu kepada rakan-rakannya mahupun untuk menunjukkan bahawa para mangsa tetap berkawan baik dengannya.
Malah, beliau turut merujuk kepada keterangan polis yang menunjukkan bahawa ketiga-tiga mangsa tidak memaafkan Wong atas perbuatannya dan salah seorang daripada mereka sudah memutuskan hubungan dengan Wong.
Setiap kesalahan mengakses bahan-bahan komputer tanpa kebenaran boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda sehingga S$5,000 (RM15,258) atau kedua-duanya sekali bagi pesalah kali pertama.

